Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Pelumba Pasukan Lumba Basikal Profesional Terengganu (TSG) Mohd Harrif Salleh berharap jurulatih Sabastian Duclos akan terus kekal bersama pasukan itu biarpun beliau dilapor mahu menamatkan kontrak awal selepas didakwa berselisih faham dengan pihak pengurusan.

Menurut pelumba berusia 26 tahun itu, beliau terkejut apabila dimaklumkan mengenai berita itu memandangkan jurulatih kelahiran Perancis itu hingga kini masih mengendalikan latihan mereka seperti biasa.

“Setakat ini beliau (Duclos) masih lagi memberi jadual latihan kepada kami kerana latihan pada bulan Ramadan diteruskan seperti biasa pada sebelah malam.

“Saya tidak tahu pula beliau ada masalah bersama pasukan kerana hubungan beliau dengan semua pelumba sangat baik, jika ada masalah dengan pihak pengurusan itu kami tidak tahu,” kata Harrif.

Dalam laporan Arena Metro sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif TSG Farhan Abdul Wahab mengesahkan sudah dimaklumkan secara lisan mengenai hasrat Duclos untuk menamatkan kontrak awal namun masih belum menerima surat rasmi.

Farhan berkata, jika jurulatih itu benar-benar mahu meneruskan hasrat itu, pihaknya bersedia mencari pengganti baru.

Bagaimanapun bagi Harrif yang masih segar dengan kejayaan dua pingat emas Sukan SEA Singapura, berharap agar Duclos yang sudah bersama pasukan itu pada 2012 dan ‘hilang’ selama setahun selepas itu sebelum kembali melatih TSG sehingga kini terus membimbing mereka.

“Lebih bagus kalau beliau masih terus melatih kami kerana beliau seorang jurulatih yang bagus. Beliau memberi impak besar kepada pasukan, kita boleh lihat peningkatan dan kejayaan pelumba TSG di bawah kendaliannya di mana kami berjaya menaiki podium di LtDL (Le Tour de Langkawi) serta Sukan SEA baru-baru ini.

“Bukan mudah mendapat jurulatih dari Eropah yang bagus dan bersedia melatih pelumba tempatan di sini,” katanya.

Duclos, 42, mempunyai baki kontrak sehingga Disember ini namun dilaporkan mahu menamatkannya lebih awal pada hujung bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 8:52 AM