Che Ku Mohd Izmuddin berkata, calon pelumba yang disenarai pendek itu diputuskan dalam mesyuarat persiapan pasukan negara bagi menghadapi temasya Sukan Sea pada 7 April lalu. - FOTO TSG
Che Ku Mohd Izmuddin berkata, calon pelumba yang disenarai pendek itu diputuskan dalam mesyuarat persiapan pasukan negara bagi menghadapi temasya Sukan Sea pada 7 April lalu. - FOTO TSG
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Enam pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) berada dalam senarai pendek Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk menggalas cabaran negara pada temasya Sukan Sea yang dijadualkan berlangsung di Vietnam.

Bagaimanapun nama pelumba berkenaan masih lagi dirahsiakan dan akan diumumkan apabila tiba masa yang sesuai berikutan pentas Sukan Sea di Hanoi yang sepatutnya berlangsung pada November ini kini menjadi tanda tanya berikutan kebimbangan wabak pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood, berkata, calon pelumba yang disenarai pendek itu diputuskan dalam mesyuarat persiapan pasukan negara bagi menghadapi temasya Sukan Sea itu di Ibu Pejabat PKBM di Melaka pada 7 April lalu.

"Hasil perbincangan bersama dalam mesyuarat itu, pada 16 Jun lalu, PKBM telah mengeluarkan senarai pendek barisan pelumba yang bakal memikul cabaran negara ke Sukan Sea di Vietnam termasuk enam pelumba daripada TSG.

"Pihak pengurusan TSG mengakui kekhilafan yang berlaku dan akan memastikan setiap kenyataan media yang dikeluarkan oleh pegawai mahupun pelumba terlebih dahulu merujuk kepada pihak pengurusan tertinggi pasukan agar tidak berlaku sebarang kekeliruan bagi mengelak imej pihak tertentu terjejas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu pelumba TSG, Mohd Harrif Saleh menggesa PKBM mengumumkan segera pelumba yang bakal mewakili negara ke temasya sukan dwitahunan itu memandangkan kejohanan kian hampir.

Harrif memberi pandangan berkenaan bagi memastikan pelumba berbasikal negara dapat bersedia lebih awal dalam misi memburu seberapa banyak pingat.

"Berkaitan keluhan Harrif itu, pihak pengurusan percaya itu pandangan peribadinya dan bercanggah dengan situasi sebenar memandangkan tarikh Sukan Sea di Vietnam belum diputuskan lagi oleh pihak penganjur.

"Sebagai pelumba profesional, mereka perlu bersedia sepanjang masa bukan sahaja mewakili negara malah juga pasukan kelab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 9:11 PM