NOR Umardi (tengah) alami keracunan makanan.
NOR Umardi (tengah) alami keracunan makanan.

Kuala Terengganu: Keracunan makanan antara punca pelumba pasukan Lumba Basikal Profesional Terengganu (TSG) kurang menyerlah di penghujung perlumbaan Tour de Singkarak di Padang, Indonesia yang berakhir kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG Farhan Abdul Wahab mendakwa ketika saingan berbaki beberapa hari sebelum tamat, TSG hanya diwakili dua pelumba kerana yang lain mengalami demam dan keracunan makanan.

“Ini pengalaman yang tidak dapat kami lupakan. Tapi kami masih bangga kerana penampilan keseluruhan dalam kejohanan itu tidak menghampakan,” katanya semalam.

TSG yang dianggotai lapan pelumba berpengalaman pulang ke tanah air semalam selepas beraksi di perlumbaan berstatus 2.2 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu.

Kejohanan itu meliputi sembilan peringkat perlumbaan dengan jarak sejauh 1,341km dan disertai 21 pasukan antarabangsa.

Menurut Farhan, beberapa pelumba TSG seperti Mohd Amirul Fakharuddin Marzuki dan Mohd Nor Umardi Rosdi menampilkan prestasi cemerlang pada lima peringkat awal sehingga ada yang menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik keseluruhan.

“Malangnya mulai hari keenam, ramai pelumba kami tidak dapat meneruskan perlumbaan kerana keracunan makanan dan juga demam.

“Pada akhirnya hanya tinggal dua pelumba (Mohd Shahrul Mat Amin dan Mohd Adiq Hussaini Othman) untuk meneruskan perlumbaan bagi peringkat ketujuh hingga kesembilan (penamat).

“Tapi kami berjaya juga mendapat tempat ketujuh pada peringkat kelapan,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Farhan berkata TSG akan menyenaraikan lapan pelumba untuk menggalas cabaran ke Kejohanan Tour de Hainan, China yang akan berlangsung selama lapan hari mulai 20 Oktober ini. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 6:00 AM