AFP

Kandahar: Sekurang-kurangnya 17 polis terbunuh apabila puluhan militan Taliban menyerang pos kawalan mereka di wilayah selatan Afghanistan, semalam.

Serangan awal subuh itu berlaku ketika Taliban meningkatkan serangan musim panas mereka walaupun kerajaan berulang kali berusaha memulakan rundingan damai.

“Puluhan anggota Taliban menyerang pos kawalan polis di daerah Musa Qala di wilayah Helmand,” kata ketua polis tempatan Nabi Jan Mullahkhil.

Menurutnya, selain 17 yang terbunuh, serangan itu turut menyebabkan tiga lagi polis cedera.

Jurucakap gabenor Helmand Omar Zwak mengesahkan jumlah kematian itu.

Taliban yang mengaku bertanggungjawab berkata, mereka merampas beberapa senjata serta peluru dan kelengkapan tentera yang lain selepas serangan berkenaan.

“Pejuang kami dengan senjata berat dan ringan menyerang pos kawalan polis di daerah Musa Qala,” kata jurucakap kumpulan itu Qari Yousuf Ahmadi.

Bagaimanapun, katanya, 25 polis terbunuh dan 13 lagi cedera.

Taliban mula melancarkan serangan musim panas mereka tahun ini hujung April lalu. Serangan itu dijangka ditingkatkan sepanjang beberapa minggu akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:04 AM