GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
AP

Kabul: Enam kakitangan Palang Merah mati ditembak lelaki bersenjata, dipercayai anggota kumpulan militan Daish di utara Afghanistan.

Jurucakap Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa di Kabul, Ahmad Ramin Ayaz berkata, serangan berlaku di wilayah Jowzjan.

Ketua polis wilayah, Rahmatullah Turkistani mengesahkan kejadian itu. Bagaimanapun menurutnya, belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab.

Militan yang setia kepada Daish beroperasi di kawasan itu.

Taliban menafikan pembabitannya.

Sementara itu, di Paktia, timur Afghanistan, seorang penyerang berani mati meletupkan muatan dibawanya selepas disekat di luar ibu pejabat daerah, menyebabkan dua orang awam terbunuh dan seorang polis cedera, kata jurucakap gabenor wilayah itu, Abdullah Asrat.

Kelmarin, seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di pintu masuk ke Mahkamah Agung di Kabul, menyebabkan 20 orang terbunuh dan lebih 40 orang cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 8:50 PM