PEGAWAI keselamatan Afghanistan memeriksa kawasan tempat serangan bom kereta.  - EPA
PEGAWAI keselamatan Afghanistan memeriksa kawasan tempat serangan bom kereta. - EPA
Agensi

Kabul: Seorang anggota Taliban meletupkan sebuah bom kereta dalam serangan berani mati di barat Kabul semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 36 orang terbunuh dan lebih 40 cedera.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri berkata, angka kematian mungkin meningkat.

Polis mengepung kawasan berkenaan yang terletak berhampiran kediaman Timbalan Ketua Eksekutif Mohammad Mohaqiq di bahagian bandar raya itu yang kebanyakan penduduknya penganut Hazara Syiah.

Taliban yang memerangi kerajaan yang disokong Barat dan pakatan tentera yang diketuai NATO melancarkan beberapa serangan di seluruh Afghanistan sejak beberapa bulan lalu dan kini terbabit dalam pertempuran di lebih enam wilayah.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid mendakwa kumpulannya bertanggungjawab dan serangan itu menyasarkan dua bas membawa ‘perisik’ yang sudah diawasi sejak dua bulan lalu.

Pasukan keselamatan kerajaan pula berkata, sebuah bas milik Kementerian Perlombongan dan Petroleum musnah dalam serangan itu yang berlaku pada jam 6.45 pagi (waktu tempatan).

Tiga kenderaan awam dan 15 kedai juga musnah dalam kejadian itu.

Sekurang-kurangnya 1,662 orang awam terbunuh di negara itu sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Sementara itu, seorang jurucakap pejabat presiden mendakwa sekurang-kurangnya 35 orang mati apabila sekumpulan lelaki dipercayai anggota Taliban menyerang sebuah hospital di Ghor, wilayah di tengah Afghanistan.

“Mereka membunuh 35 orang, semuanya orang awam apabila memasuki hospital itu. Ini jenayah kejam terhadap kemanusiaan,” kata jurucakap berkenaan, Shah Hussain Murtazawi.

Dia tidak menjelaskan lebih lanjut tetapi laporan yang belum disahkan mendakwa penyerang membakar hospital terbabit dan membunuh mereka yang berada di dalam.

Taliban bagaimanapun menafikan anggotanya terbabit dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2017 @ 11:15 AM