POLIS dan bomba memeriksa tempat kejadian di Kabul.
POLIS dan bomba memeriksa tempat kejadian di Kabul.
AFP

Kabul: Sebuah bas yang penuh dengan pengawal keselamatan warga Nepal antara yang menjadi sasaran beberapa serangan bom di Afghanistan semalam yang menyebabkan 23 orang maut.

Jurucakap Taliban dalam satu kenyataan di Twitter mendakwa mengebom sebuah bas mini yang membawa sekumpulan pengawal keselamatan Nepal yang bekerja di kedutaan Kanada di sini.

Serangan itu menyebabkan 14 penumpang maut dan bas mini berwarna kuning berkenaan penuh dengan kesan darah.

Polis berkata, serangan terhadap bas itu dilancarkan pengebom berani mati yang berjalan kaki dan menghampiri bas berkenaan pada awal pagi semalam.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid berkata, serangan itu dilancarkan terhadap pasukan asing yang melakukan keganasan di Afghanistan.

Taliban juga mengaku melancarkan serangan bom lebih kecil di selatan Kabul yang menyebabkan seorang terbunuh.

Beberapa jam selepas itu, sebutir lagi bom meletup di sebuah pasar di wilayah Badakhshan yang menyebabkan lapan terbunuh dan ramai yang cedera.

Serangan itu berlaku 10 hari selepas Amerika Syarikat (AS) mengumumkan perluasan kuasa tenteranya untuk melancarkan serangan udara di Afghanistan.

Pada bulan lalu, Taliban mengumumkan pelantikan Haibatullah Akhundzada sebagai pemimpin baru mereka selepas bekas ketua Mullah Akhtar Mansour terbunuh dalam serangan udara AS di Pakistan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2016 @ 7:21 AM