Baru-baru ini berlangsung rakaman program mega membabitkan ramai artis terkenal untuk satu stesen TV. Ada yang muda dan ada juga veteran tetapi majoriti popular serta punya ramai pengikut.

Apabila ramai berkumpul, meriahlah suasana malah ada juga drama tidak diundang. Paling menarik perhatian, ‘drama’ artis terkenal yang buat kru kecut perut.

Khabarnya, dia minta produksi menyediakan baju untuknya. Siap bagi contoh baju bagaimana yang dia mahu. Maka, produksi pun buatlah seperti yang diminta artis ini.

Bagaimanapun pada hari rakaman, dia tidak puas hati dengan baju yang disediakan itu lalu meninggikan suara kepada individu yang bertanggungjawab. Punyalah kuat suaranya sampai semua yang ada dalam bilik berkenaan boleh dengar dengan jelas setiap patah perkataan yang dihamburkan.

Menurut sumber, tak ada apa kurangnya baju itu, cantik rekaannya. Malah apa yang dikehendaki artis ini semua sudah dituruti. Entah angin apa, artis ini tiba-tiba ‘meroyan’ malah sebelum itu pun dia langsung tidak bertegur sapa dengan kru.

Ketika masuk ke bilik persalinan, jangankan bagi salam, senyum pun tidak sebaliknya terus melangkah ke arah baju dan mengeluarkan kata-kata pedas.

Terkebil-kebil mata pereka fesyen yang menyediakan baju berkenaan. Sudahlah kecut perut dengan lontaran lantang vokal artis itu, terpaksa menahan malu pula apabila rekaannya dikritik.

Drama berkenaan tidak berakhir di situ apabila artis ini bertindak menghalau jurusolek keluar dari bilik persalinan ketika mahu tukar baju. Caranya sungguh kasar dan biadab.

Persoalannya kenapa perlu halau sedangkan dia boleh cakap secara baik. Lagipun bukan jurusolek itu tidak faham bahasa hingga diperlakukan sedemikian rupa. Dia pun tahu etika dan adab.

Itu apa yang Sha dengar, tak tahulah pula apa sebenar yang dilalui artis itu hingga bersikap sedemikan. Barangkali dia ada sebab yang kukuh. Sebagai artis berpengalaman, takkan dia nak buat perangai bukan-bukan.

Walaupun sudah banyak cerita negatif mengenai sikap divanya pernah Sha dengar sebelum ini, itu cerita sebelah pihak.

Namun tidak bermakna Sha tidak percaya dengan apa yang didengar kerana rakan Sha pun ada bercerita benda yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2015 @ 5:08 AM