Ini bukan rekaan atau bertujuan menjatuhkan air muka kerana benar-benar berlaku terhadap rakan Sha yang bertugas sebagai jurugambar.

Beberapa hari lalu, dia ditugaskan merakam gambar pelakon yang mencipta nama menerusi drama Juvana, Syazwan Zulkifli. Sesi fotografi itu berlangsung di studio Balai Berita dan Sha dimaklumkan, Syazwan tiba lewat sejam dari masa dijanjikan.

Walaupun lewat, jurugambar itu tidak merungut kerana ketika itu hujan dan beranggapan mungkin Syazwan terkandas dalam kesesakan lalu lintas.

Bagaimanapun, kerjanya sedikit terganggu apabila Syazwan seakan-akan tidak ambil serius sesi fotografi itu apabila membiarkan dia terus menunggu.

Syazwan yang sepatutnya menukar baju dikatakan sengaja melengah-lengahkan masa, kemudian merokok tanpa sikit pun riak bersalah. Kalau sudah lambat tiba, patutnya Syazwan kena pantas tukar baju dan terus menghadap kamera.

Ini tidak, ketika detik foto mahu dirakam, Syazwan khabarnya leka bermain telefon. Entah apa dibuat, apabila rakan Sha tanya boleh mula ke belum, dia jawab sudah tetapi mata masih menatap telefon.

Melihat reaksi Syazwan yang seakan-akan tidak ambil serius, rakan Sha ambil keputusan ke tandas dulu. Apabila masuk dalam studio, dia masih leka dengan telefon.

Sepanjang sesi fotografi, Syazwan tidak memberi kerjasama baik dan tidak menunjukkan kesungguhan. Panas hati juga rakan Sha apabila terpaksa berdepan situasi yang disifatkan membuang masa itu.

Baginya yang berpengalaman merakam foto ramai artis tanah air dan luar negara, sepatutnya Syazwan bersikap profesional dan serius dengan tugasan itu. Mereka sedang bekerja, kenalah saling menghormati, bukan bersikap sedemikian.

Lagipun, setahu Sha, fotografi itu diadakan bagi mempromosi filem terbaru lakonannya. Apabila diberi peluang, buat main-main pula.

Sha harap Syazwan ambil serius perkara ini dan tidak mengulanginya lagi. Setiap hari artis datang studio ambil gambar, jurugambar pun banyak kerja. Kalau artis main-main, larilah jadual kerja petugas studio.

Kepada pendatang baru lain, jadikan perkongsian ini sebagai iktibar dan paling penting, belajar menghormati kerja dan hargai masa orang lain. Bukankah masa itu emas, rugilah mereka yang tidak menghargai masa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 12:17 PM