Nampaknya gayanya Aliff Aziz masih ‘terikat’ dengan kontroversi. Baru-baru ini ada dakwaan yang dia berhutang dengan pengurus artis yang pernah rapat dan banyak membantunya satu ketika dulu.

Dikatakan hampir dua tahun lalu dia ada meminjam wang daripada pengurus artis berkenaan yang menjadi tempatnya berkongsi banyak cerita. Kononnya pelakon dan penyanyi kelahiran Kota Singa ini terdesak mahu beli baju untuk penggambaran drama. Ketika itu dia tiada duit lalu memujuk pengurus artis berkenaan meminjamkannya duit.

Menurut pengurus artis itu, Aliff berjanji akan membayar hutang berkenaan selepas penggambaran selesai. Macam-macam keluhan diluahkan Aliff ketika itu sehingga pengurus artis terbabit rasa simpati dan sudi meminjamkan duit. Aliff mengaku pada waktu itu dia ada masalah kewangan.

Pada mulanya Aliff minta RM3,000 dan dia mempersoalkan kalau mahu beli baju untuk penggambaran tidaklah perlu sebanyak itu kerana RM1,000 sudah lebih dari cukup.

Buat apa mahu beli pakaian berjenama mahal kalau sekadar untuk penggambaran, lainlah kalau perlu ke acara berprestij. Maka Aliff pun bersetuju dengan jumlah itu di mana dia hanya meminjam RM1,000.

Namun sebulan selepas itu, janji hanya tinggal janji. Cerita pengurus artis itu pada Sha, dia tidak dapat menghubungi Aliff.

Dari minggu ke minggu dia cuba lagi namun nombor telefon Aliff sudah tiada dalam perkhidmatan. Aliff pun senyap tanpa khabar berita, langsung tidak seperti janji yang ditabur sebelum itu.

Pengurus artis itu kemudian mendapat nombor telefon baru Aliff daripada seorang kenalan penyanyi itu. Namun apabila dihubungi, Aliff langsung tidak mengangkat telefon dan tidak membalas mesej.

Ketika menghadiri majlis hiburan, ada juga pengurus itu mencari Aliff namun tidak pernah berjumpa. Keadaan itu berlarutan setahun lebih dan tiba-tiba dia terserempak Aliff di pusat membeli-belah terkenal di Damansara.

Alang-alang bertemu, dia pun memanggil Aliff untuk bertanyakan hutangnya. Aliff nampak menggelabah dan tidak selesa sepanjang pertemuan singkat itu. Bahkan ketika ditanya mengapa tidak melunaskan janji, Aliff beri alasan dia ada macam-macam masalah dan berjanji akan bayar hutang berkenaan. Siap bagi nombor telefon barunya sebagai jaminan.

Namun pengurus artis berkenaan kecewa apabila Aliff langsung tidak menjawab panggilannya selepas itu. Sampai sekarang, mereka tidak bersua muka walhal Aliff masih aktif menjayakan per­sembahan di sana-sini dan ada single baru.

Pengurus artis itu terkilan kerana Aliff seakan melarikan diri sedangkan ketika terdesak mahu pinjam duit macam-macam janji ditabur. Kenapa diamkan diri selama ini sedangkan perkara ini boleh di bawa berbincang.

Mungkin duit itu nampak kecil jumlahnya pada Aliff namun bagi pengurus artis itu RM1,000 itu besar nilainya.

Bagi Sha, soal hutang tidak boleh dibuat main-main. Mungkin selepas ini Aliff patut bertemu pengurus artis terbabit dan langsaikan apa yang patut. Janganlah dibiarkan perkara ini berpanjangan kerana janji wajib ditepati.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 5:06 AM