Namanya dalam dunia seni suara tanah air bukan calang-calang. Pendek kata, sudah banyak pertandingan disertai, malah dia antara penyanyi yang sering mendapat perhatian.

Lagu dendangannya pun boleh tahan bisanya hingga menjadi siulan ramai. Sha sendiri suka lagu dendangan penyanyi ini dan selalu juga jadi halwa telinga ketika memandu.

Bagaimanapun, kebelakangan ini selalu pula dengar rungutan beberapa pihak yang kurang berpuas hati dengan mutu vokalnya. Kata mereka sumbang mambang, jauh beza dengan apa yang mereka dengar dari cakera padat atau radio.

Kalau ikutkan, artis ini lebat dengan undangan menjayakan persembahan majlis anjuran pelbagai pihak, termasuk makan malam kakitangan kilang terkemuka.

Cerita seorang teman yang bekerja di sebuah kilang, bila tahu penyanyi itu akan menyanyi di acara tahunan mereka, ramai yang teruja dan tidak sabar-sabar mahu lihat dia menyanyi. Maklumlah, sebelum ini hanya lihat persembahannya di TV atau dengar suaranya di radio.

Namun pada hari persembahan, masing-masing tersenyum sumbing, malah ada yang cakap suara mereka lebih bagus. Secara tidak langsung, insiden itu buat mereka hilang minat dengan penyanyi itu.

Penganjur pun bengang kerana apa yang dipersembahkan penyanyi ini langsung tidak berbaloi dengan bayaran dikenakan.

Bukan sikit belanja yang dikeluarkan untuk panggil penyanyi ini. Masing-masing hanya mampu tepuk dahi dan sepakat tidak akan mengundangnya lagi.

Bagi Sha, rungutan ini wajar dipandang serius bukan saja penyanyi ini, tetapi juga rakan artis lain. Makin tinggi nama dijulang, kenalah bekerja lebih keras. Jangan ambil mudah segala aspek kerana kalian menjual bakat.

Perlu diingat, bakat itu sumber pendapatan kalian dan kena buat betul-betul. Berada lama dalam industri tidak bermakna serba-serbi sudah sempurna hingga tidak perlu menjalani latihan vokal.

Tengok penyanyi ini, apa sudah jadi? Barangkali dia terlalu selesa hingga tidak perasan kelemahan yang ada. Namun apa sudah jadi dengan mereka di sekelilingnya, takkan tiada seorang pun yang menegur atau mengingatkan penyanyi ini. Tak tahulah kalau mereka sekadar tukang angguk atau langsung tiada kuasa untuk bersuara.

Apapun, Sha harap penyanyi ini segera perbaiki mutu vokalnya andai mahu terus laris dengan 'show'.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2015 @ 5:04 AM