Terdiam seketika Sha bila dengar perihal individu yang tidak ketahuan kedudukannya dalam industri. Nak kata dia media, terang-terang bukan. Pengurus artis pun bukan, blogger pun bukan, tetapi di mana-mana ada saja muka dia.

Sudah banyak cerita mengenainya Sha dengar, tetapi setakat masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Malas nak ambil tahu, banyak lagi perkara lain perlu diberi keutamaan.

Bagaimanapun, kejadian baru-baru ini menarik perhatian Sha. Tak sangka pula dia menggunakan segala kabel untuk mendapatkan pas masuk satu acara berprestij.

Tahun lalu, dia dikatakan hadir atas kapasiti pengurus artis hingga menjadi buah mulut ramai. Bila masa pula dia jadi pengurus, walhal artis itu ada pengurusan sendiri.

Difahamkan, tahun ini pula dia mengirim e-mel kepada penganjur minta pas masuk ke acara itu, tetapi permintaannya ditolak kerana dia bukan wakil media.

Dia kemudian memaklumkan bukan mahu pas media, tetapi tiket VIP. Apa lagi, terkejutlah penganjur. Atas kapasiti apa dirinya layar digelar VIP. Lagipun, senarai VIP sudah dibuat dan tempat sudah penuh.

Dia tidak puas hati apabila penganjur memaklumkan tidak ada tiket VIP untuknya lalu menghubungi pengurusan teratas. Permintaan melampaunya tidak dilayan dan dia berusaha lagi dengan menghubungi individu yang lebih tinggi kedudukannya, tetapi sekali lagi permintaannya diabaikan.

Ingatkan sudah berputus asa, rupa-rupanya tidak. Dikhabarkan dia menggunakan kabel lebih besar iaitu orang kementerian. Apabila permintaan menerusi orang tengah itu sampai ke pengetahuan pengurusan tertinggi penganjur, ramai geleng kepala.

Sebesar mana pun kabel digunakan, penganjur tetap dengan pendirian asal dan ketika individu itu tidak dapat apa yang diidam, Sha difahamkan dia tidak kelihatan di acara berkenaan.

Tak tahulah kalau dia duduk di tempat penonton tetapi menurut penganjur, mereka tidak nampak individu itu berlegar-legar sepertimana majlis terdahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Disember 2014 @ 5:03 AM