HAFIZ tidak mahu patah semangat dalam dunia fotografi .
HAFIZ tidak mahu patah semangat dalam dunia fotografi .
ANTARA karya fotografi oleh Hafiz.
ANTARA karya fotografi oleh Hafiz.
ANTARA karya fotografi oleh Hafiz.
ANTARA karya fotografi oleh Hafiz.

Bidang fotografi bukan saja memberi kepuasan namun pendapatan yang bagus jika kena gayanya. Basyar Mustapha sokong belia yang tekad ingin berjaya dalam bidang ini.

Beberapa tahun lalu populariti bidang fotografi meledak apabila ramai anak muda menunjukkan minat dalam bidang itu. Ke mana saja kita pergi akan kelihatan belia memegang kamera canggih DSLR mahupun kamera kompak dengan stail retro.

Malah, jurusan fotografi dijadikan pilihan ramai remaja dalam melanjutkan pelajaran mereka di pusat pengajian tinggi dengan harapan ingin menjadi seorang jurugambar.

Bagaimanapun ramai anak muda ini mengalah dan melupakan impian mereka dalam bidang fotografi disebabkan beberapa perkara yang mereka saja tahu. Mereka berubah arah dan cita-cita terkubur di tengah jalan.

Namun bagi anak muda Mohd Nizar Mustafa, 27, atau lebih senang dipanggil Hafiz, dia tidak pernah kenal erti jemu dan tetap mahu jadikan bidang fotografi sebagai kerjaya pilihan dan minat utamanya.

“Saya mula meminati dunia fotografi sejak kecil lagi. Ketika itu saya hanya menggunakan kamera jenama Canon pemberian ayah saya.

“Dari situ saya sentiasa membawa kamera ke sekolah secara diam-diam dan gemar bergambar dalam pelbagai aksi dan kadang-kala mengajak rakan beraksi di hadapan kamera.

“Walaupun tanpa tunjuk ajar daripada sesiapa dan pengajian secara formal ketika usia mentah itu, saya tetap gigih mempelajarinya sendirian.

“Kerana dilihat terlalu taasub dengan gambar, ibu saya membelikan kamera pertama saya Nikon D60. Sejak situ saya sudah mula berjinak-jinak memulakan karier saya sebagai jurugambar amatur selama beberapa tahun,” katanya yang berasal dari Kemaman, Terengganu.

Pada usia 21 tahun, Hafiz membuka studio pertamanya di Kompleks Teruntum, Kuantan, Pahang dan kebanggaan pertamanya itu dinamakan Whitelips Studio.

“Sejak itu tumpuan saya kepada dunia fotografi amatlah tinggi dan pelbagai pengalaman pahit manis saya lalui. Ada ketika banyak tempahan sesi fotografi yang saya dapat namun ada juga masanya jadual saya lengang kerana perkhidmatan tidak ditempah.

“Namun, ia tidak mematahkan semangat saya dan dengan sokongan keluarga, saya makin bersemangat,” katanya,

Seperti remaja lain ketika itu, Hafiz pernah mengalami frasa hidup apabila dia keliru dalam membuat keputusan untuk masa hadapannya.

“Pada usia awal 20an saya agak keliru dengan apa yang saya ingin jadi pada masa hadapan. Minat terhadap bidang fotografi sememangnya wujud di dalam diri saya sejak kecil, namun bidang fotografi bukanlah pilihan pertama saya selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia. Saya ketika itu lebih terdorong kepada komputer dan multimedia.

“Ayah pula seorang peneroka FELDA dan mekanik. Dulu dia ingin saya membantunya di bengkel dan di ladang. Namun dia sedar bahawa kerjaya itu bukanlah pilihan saya , maka dia menggalakkan apa saja yang saya rasa saya suka dan mereka sama sekali tidak membantah.

“Saya bersyukur kerana ibu dan ayah saya seorang yang terbuka di dalam apa saja pilihan saya. Asalkan saya memilih yang terbaik dan mereka sentiasa menyokong saya.

“Akhirnya saya kembali juga kepada minat asal saya iaitu bidang fotografi dan seterusnya menjadikan ia sebagai karier tetap saya.

“Saya seorang yang sangat menghargai seni dan gambar. Bagi saya setiap momen yang dirakam terjadi hanya sekali. Kita boleh mencipta suasana seakan tapi keadaannya pasti tidak sama.

“Kerana itu setiap gambar yang terhasil daripada sebuah fotografi sangat tinggi nilainya. Dengan hanya sekeping gambar mampu menceritakan segala-galanya. Maka tidak hairanlah jika saya masih menyimpan gambar yang dirakam dari telefon bimbit sejak dari zaman remaja hingga kini,” katanya.

Menurut Hafiz, minatnya tidak hanya kepada fotografi saja malah juga kepada rekaan grafik dan ubah suai gambar.

“Bagi saya mengambil gambar dan bijak menambah penting dalam bidang fotografi. Apatah lagi kita boleh menaikkan mood sesuatu gambar dengan teknik ini melalui pelbagai cara dan teknologi. Ia juga akan membezakan hasil kerja seseorang jurugambar.

“Bercakap pasal identiti kerja, saya seorang yang gemar pada sistem pencahayaan kreatif. Kebanyakan gambar yang saya hasilkan sejak dari awal Whitelips Studio dibuka adalah lebih kepada teknik itu.

“Gaya bergambar pula lebih terikut kepada gaya majalah fesyen seperti Vogue ataupun Harper’s Baazar. Mungkin kerana minat saya terhadap fotografi fesyen terlalu mendalam. Maka saya terapkan gaya itu ke atas pelanggan saya . Maka tidak harianlah jika dilihat gambar perkahwinan yang saya hasilkan semuanya bagaikan pengantin sedang beraksi dalam majalah fesyen,” katanya.

Setiap kerjaya yang dipilih itu ada cabaran tersendiri. Hafiz juga tidak terlepas daripada diuji dalam mencipta namanya pada usia muda.

“Cabaran yang paling ketara dan pernah saya rasai adalah ketika ditugaskan untuk merakam gambar orang kenamaan hanya menggunakan kamera D60 pada awal usia 20-an.

“Saat itu saya cuba menolak kerana sedar akan diri yang masih mentah dalam dunia fotografi. Tetapi atas desakan rakan saya, Addin Ahmad dan saya berjaya menyelesaikan tugas berkenaan dengan baik sekali.

“Keadaan sama juga berlaku apabila saya diminta membuat fotografi untuk kulit album penyanyi Sheila Abdull dan Sheila adalah artis pertama yang bekerjasama dengan saya. Terima kasih juga pada dia kerana mempercayai saya dan hasil kerja saya,” katanya.

Kini lebih dikenali dengan Nizarhafiz Mustafa di laman sosial, Hafiz ligat menggapai pencapaian demi pencapaian dalam arena fotografi.

Terbaru Hafiz menjadi jurugambar pilihan untuk sesi fotografi dan videografi untuk majalah dalam talian oleh Media Prima Bhd iaitu ZIP Online yang kebanyakannya menampilkan selebriti tempatan yang hebat yang baru dilancarkan baru-baru ini.

“Jika diizinkan Allah, dalam jangka masa lima tahun mendatang sudah pasti saya ingin menghasilkan hasil kerja yang lebih hebat ataupun setanding jurugambar antarabangsa seperti Mario Testino, Kristian Schuller dan Annie Leibovitz. Itu impian saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 10:03 AM