TERDAPAT puluhan aplikasi boleh dipilih bersesuaian dengan telefon pintar.
TERDAPAT puluhan aplikasi boleh dipilih bersesuaian dengan telefon pintar.
Afiq Hanif


Telefon pintar kini menjadi kamera utama bagi kebanyakan pengguna manakala kualiti fotografi telefon pintar turut meningkat ke tahap yang tiada lagi keperluan untuk memiliki kamera kompak.

Apa lagi, kini fotografi yang kebanyakannya digital dan penyimpanannya mudah saja dicapai, malah dengan trend swafoto, segalanya hanya dilakukan dengan telefon.

Meskipun terdapat beberapa model telefon pintar yang memiliki ciri manual kamera berkeupayaan mencantikkan foto anda, terdapat aplikasi pihak ketiga boleh diberi perhatian dalam mencantikkan imej.

Namun terdapat puluhan aplikasi berkaitan suntingan fotografi sama ada di iOS atau Android yang boleh dipilih, namun harus diingat tidak semuanya mempunyai ciri baik dan memuaskan hati.

IT@Metro mencadangkan beberapa aplikasi yang bersesuaian dengan keperluan suntingan bagi telefon pintar dan paling penting menepati cita rasa pengguna di Malaysia.

1. PicsArt Photo Studio

Aplikasi ini bukan saja berfungsi menyunting, tetapi ia juga membolehkan anda berhubung dengan pengguna lain yang berkongsi hasil seni mereka.

Menariknya, gambar dirakam boleh disunting menjadi karya seni selain membenarkan individu lain juga menyunting gambar sama menjadikannya lebih menarik.

Satu fungsi yang mencuri tumpuan termasuk ciri ‘Draw’ menyaksikan pengguna boleh menconteng gambar yang ada selain ditambah dengan pelekat (sitcker) ditawarkan.

PicsArt Photo Studio ini ditawarkan dengan percuma, tetapi terdapat lebih banyak pelekat, ‘font’ atau latar belakang yang dijual pada harga dari RM3 hingga RM10.

2. Snapseed

Fungsi manual dalam aplikasi ini memang hebat. Anda boleh lihat ciri Tool yang mempunyai. Tune Image, Details, Crop, Rotate, Perspective, White Balance, Brush, Selective, Healing, Vignette, Text dan Curves.

Bagi Filter atau penapis pula, terdapat Lens Blur, Glamour Glow, Tonal Contrast, HDR Scape, Drama, Grunge, Grainy Film, Vintage, Retrolux, Noir, Black&White, Frames dan Face.

Ciri menyeluruh itu sudah pasti terlalu banyak untuk diteroka, jadi apa yang anda perlu lakukan ialah mengambil sedikit masa untuk membelek satu persatu secara teliti, memang sedikit leceh, tapi hasilnya berbaloi.

Font yang disediakan bagi tambahan teks juga cantik dan menepati kehendak pengguna moden sekarang.

3. Cymera

Cymera agak ringkas dan sebaik saja dibuka, ia terus memaparkan gambar terakhir yang dirakam.

Fungsinya ditempatkan di bahagian atas termasuk Edit, Correct, Effect, Beauty dan Decorate manakala ruangan bawah lengkap dengan galeri, perkongsian, simpan dan kamera untuk terus merakam.

Anda juga boleh menampal ‘watermark’ di bahagian bawah kanan dengan ikon Cymera.

Menariknya mengenai aplikasi pada bahagian Beauty dengan fungsi Body, Big Eyes, Smile, Slim, Liquify, Concealer, Whitening, Softening, Hair, Make-Up dan Red Eye.

Slim misalnya pasti menjadi perhatian pengguna di Malaysia.

4. Open Camera

Jika anda mahu merakam foto, lebih baik terus menggunakan aplikasi yang mempunyai pelbagai fungsi seakan-akan menggunakan kamera DSLR.

Fungsi kamera yang boleh diubah termasuk Focus Modes, Scene Modes, Color Effects, White Balance, Iso, Exposure Compensation/Lock, Face Detection dan Torch.

Antara muka aplikasi ini juga lebih ringkas dan fungsi kamera ditempatkan di bahagian kanan jika anda menggunakan kamera secara menegak atau bahagian atas jika anda menggunakan kamera telefon secara melintang.

Selain itu, terdapat beberapa mod yang disediakan berdasarkan lokasi dan penggunaan ketika acara tertentu.

Setakat ini, semua fungsi dalam aplikasi ini ditawarkan secara percuma.

Banyak aplikasi lain yang berada dalam App Store dan Google Play boleh diteroka, namun jika anda berminat dengan fotografi boleh mencuba pindah turun aplikasi dicadangkan IT@Metro.

Apatah lagi ketika berkumpul bersama keluarga atau rakan memerlukan memori yang disimpan dengan baik walaupun telefon pintar anda mungkin tidak secanggih mana.

Cuma, janganlah terlalu asyik dengan telefon.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 5:21 AM