"Itulah, main-main lagi, kan dah kena buang. Masa orang bagi peluang, asyik ponteng kelas dan tidak siapkan tugasan. Dia ingat dia artis, dia kebal," kata satu sumber mendedahkan artis terkenal terpaksa meninggalkan pengajian gara-gara keputusan peperiksaan tidak memenuhi piawaian ditetapkan pusat pengajian.

Sha terkejut mendengar cerita ini. Yelah, kalau berbual dengan artis ini, dia pasti akan bercerita mengenai pengajiannya.

Walaupun sibuk berlakon, dia tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai pelajar. Habis penggambaran, pasti dia menghadiri kuliah dan menyiapkan tugasan diberikan pensyarah.

Bagaimanapun, apa yang Sha dengar bercanggah dengan apa yang keluar dari mulut artis ini. Sha difahamkan, banyak kali artis ini ditegur berikutan kerap ponteng kelas dan tidak serius dengan pengajian.

Setiap kali keputusan peperiksaan keluar, dia antara paling corot. Kebetulan pula kursus diambil bukan calang-calang, kalau tak belajar betul-betul, memang lingkup.

Pernah dia dinasihatkan tukar kursus tetapi tetap berkeras mahu meneruskan pengajian dalam bidang itu. Barangkali kursus itu nampak gah dan akan buat orang lebih mengaguminya.

Andai dia berubah tak mengapa jika mahu kekal dalam bidang itu, tetapi tabiat buruknya kian menjadi-jadi. Suka hati saja mahu datang kelas atau tidak sampai jadi buah mulut pensyarah dan pelajar.

Sudahnya, dia terpaksa berundur apabila rayuan untuk meneruskan pengajian tidak diluluskan pihak universiti. Menurut sumber, dia merayu dengan pengurusan tertinggi supaya membenarkan dia meneruskan pengajian tetapi panel penilai tidak boleh berkompromi kerana keputusan peperiksaan artis ini sangat mengecewakan.

Adalah tidak profesional jika mereka membenarkan artis ini terus berada di universiti kerana ia akan menjejaskan kredibiliti mereka sebagai panel penilai.

Lagipun bukan mereka tidak pernah beri peluang, sudah berkali-kali mereka berkompromi dan cuba memahami kesibukan artis ini memenuhi komitmen seninya, tetapi peluang diberi tidak dihargai.

Ramai juga artis lain bergelar pelajar tetapi mereka pandai membahagikan masa antara pelajaran dan kerjaya. Malah, ada yang meraih keputusan cemerlang dan menjadi pelajar contoh di fakulti masing-masing.

Harap perkara ini dapat menyedarkan artis ini supaya fokus ketika melakukan sesuatu. Selama ini dia banyak main dan bersikap ambil mudah hingga terlepas peluang depan mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 5:02 AM