Insiden ini berlaku ketika rakan Sha menghadiri rakaman satu program baru. Membariskan nama besar, pasti ia menjadi tumpuan media pada hari itu.

Namun yang sedapnya apabila rakan Sha melihat drama demi drama sepanjang rakaman berkenaan. Ada yang terkedu, ada yang ternganga dan tak kurang juga menggaru kepala menyaksikan apa yang berlaku depan mata.

Kata seorang teman, belum pernah lagi dia melihat hos mengamuk di set rakaman dan itulah pengalaman pertama­nya.

Selama ini dia hanya mendengar hos berpengalaman itu tak boleh dibuat main-main. Kalau naik angin, memang bernanah telinga orang kiri kanan.

Kejadian berlaku pada awal rakaman ketika dia mahu berbual dengan tetamu jemputan program. Tiba-tiba dia mening­gikan suara marahkan orang dalam konti asyik memberi arahan, sedangkan dia ada skrip di tangan.

Mungkin dia rasa tergang­gu hingga tak dapat menahan kemarahan. Lama juga dia membebel individu berkenaan di bucu pentas tanpa menghiraukan tetamu dan media yang memandang.

Rakaman dihentikan lama juga apabila dia naik hantu marah-marah. Vokal usah cakaplah memang lantang hingga dapat didengar satu studio. Tidak ada seorang pun berani menyampuk dan masing-­masing diam seribu bahasa.

Suka atau tidak, terpaksalah rakan Sha menunggu rakaman disambung semula. Kata teman itu lagi, drama itu tidak terhenti di situ apabila beberapa kali juga rakaman terpaksa dihentikan.

Pendek kata, hari itu hos dan tetamu undangan sentap. Dari mula hingga penghujung rakaman, ada saja yang tak kena hingga ada kru produksi terpaksa jadi juru pujuk.

Nak komen lebih-lebih pun rasanya tak patut pula sebab Sha tiada di tempat kejadian. Namun, kata rakan Sha, sepatutnya semua pihak kena bersikap profesional dan tidak cepat melatah.

Kalau ia pun nak marah atau meluahkan rasa kurang senang, tunggulah sehingga rakaman selesai. Tak perlulah meletop bak gunung berapi. Bukankah bersabar itu separuh dari iman.

Pihak produksi pula kenalah maklumkan dari awal kepada hos dan tetamu sebelum program bermula, jadi masing-masing akan lebih bersedia dan tahu apa yang perlu dibuat. Tak gitu?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:01 AM