JIN Wei risau kerana tidak ditemani jurulatih ke Paris 2024. FOTO ARKIB NSTP
JIN Wei risau kerana tidak ditemani jurulatih ke Paris 2024. FOTO ARKIB NSTP
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan menyediakan jurulatih terbaik kepada pemain perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengarah Pentadbiran BAM, Michelle Chai berkata, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky sudah sedia maklum mengenai perkara itu dan tindakan lanjut akan dilakukan demi memastikan Jin Wei mendapat bantuan sewajarnya.

Beliau turut memaklumkan jadual perlawanan membabitkan Jin Wei tidak bertembung dengan perlawanan wakil negara lain, sekali gus membolehkan dia mendapat khidmat jurulatih di sisinya.

"Saya fikir Rexy sudah berbincang dengan Jin Wei, rasanya pada minggu lalu, tetapi perbincangan lebih terperinci antara mereka berdua akan dilakukan dalam masa terdekat.

"Jadi Jin Wei tidak perlu risau sebab akan ada seorang jurulatih dari BAM akan bantu dia di Paris nanti.

"Untuk secara terperinci siapa akan menjaga dia ketika hari perlawanan itu, Rexy akan buat keputusan kerana dia adalah pengarah jurulatih BAM," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

Selain itu, Michelle berkata, BAM mendapatkan lima kuota kad akreditasi yang akan diwakili Rexy, Tan Bin Shen (jurulatih beregu lelaki), Hoon Thien How (jurulatih beregu wanita), Nova Widianto (jurulatih beregu campuran) dan Wong Tat Meng (jurulatih perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia).

Pada masa sama, Timbalan Ketua Kontijen (CDM), Datuk Nicol David yakin Jin Wei boleh menampilkan aksi cemerlang di Paris 2024 dan percaya pemain ranking ke-33 dunia tidak akan berseorangan di pentas temasya terbesar dunia itu nanti.

Terdahulu Arena Metro melaporkan Jin Wei akan ke Paris 2024 tanpa jurulatih berikutan Nova Armada tidak bersamanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 1:46 PM