Beberapa hari lalu, Sha dapat tahu pelakon kacak, Kamal Adli menyebabkan rakaman program Ye Ke?! terbitan TV3 terganggu apabila dia dikatakan datang lambat ke lokasi.

Sha difahamkan, pada hari itu ada dua sesi rakaman dan Kamal diundang sebagai seorang daripada tetamu. Pelakon berbakat ini sepatutnya tiba di lokasi jam 12.30 tengah hari, namun jam 3 petang baru muncul.

Kerana kelewatannya, jadual rakaman untuk sesi ber­ikutnya membabitkan ramai artis terkenal tanah air terpaksa dilewatkan sejam. Kelam kabut juga produksi kerana barisan artis terbabit bukan calang-calang seperti Erra Fazira, Awie, Nabila Huda, Raja Azura, Datuk Rosyam Nor dan Amy Mastura.

Lebih panik apabila kebanyakan artis tiba jam 2.30 petang, walhal mereka disaran datang jam 3 petang. Dek kerana kelewatan Kamal, Awie terpaksa menarik diri daripada penyertai rakaman itu.

Persoalan­nya, kenapa Kamal lambat? Adakah kerana dia tidak dimaklumkan perlu ada di lokasi jam 12.30 atau barangkali maklumat itu tidak sampai kepadanya? Atau mungkin ada perkara yang tidak dapat dielakkan sehingga lewat sampai?

Kata sumber, kalau betul ada masalah, kenapa tidak dimaklumkan awal kepada pihak produksi? Sepanjang tempoh dua jam setengah, takkan dia tidak boleh menghubungi penerbit atau pun kru bertugas.

Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana rakaman membabitkan ramai orang. Kerana dia lambat, yang lain pun turut menerima kesan dan pasti tidak adil buat mereka.

Kena ambil kira juga mungkin mereka ada agenda serta program lain, namun dek kerana Kamal, jadual mereka terganggu.

Sebelum itu, Kamal dikatakan lambat datang satu program pencarian bakat anjuran majalah. Dia yang mendapat kepercayaan tampil sebagai hos program, mencemaskan penganjur apabila tiba lambat dari masa ditetapkan. Betul ke?

Dengarnya, bab lewat sampai bukan perkara baru bagi Kamal dan ia sedikit sebanyak merosakkan reputasinya. Kata sumber yang menyampaikan cerita, kenapa disia-siakan peluang depan mata. Kamal sepatutnya menghargai kepercayaan diberi pelbagai pihak kepadanya dan buat yang terbaik.

Soal ketepatan masa tak boleh ambil mudah kerana ia antara elemen penting selain bakat jika mahu bertahan lama dalam industri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 5:07 AM