AKSI Awie dan Erra dalam Warna Cinta Impian imbas kehangatan 22 tahun lalu.
AKSI Awie dan Erra dalam Warna Cinta Impian imbas kehangatan 22 tahun lalu.
Oleh Amirul Haswendy Ashari


Filem Sembilu yang diterbit dan ditayangkan kepada umum 22 tahun lalu, menjadi saksi kemesraan hubungan di antara pelakon jelita, Erra Fazira dan penyanyi juga pelakon, Awie.

Filem arahan Datuk Yusof Haslam itu menjadi fenomena dan dilaporkan sebagai filem paling berjaya ketika itu berdasarkan kutipan pecah panggung, RM4.2 juta.

Biarpun sudah lama berlalu, jenama Sembilu tidak pernah lekang daripada minda peminat setia filem terbitan Skop Production.

Itu kisah lama. Terbaru mereka berdua disatukan kembali menerusi filem Warna Cinta Impian, arahan NS Krishna dan terbitan Touchtronics Entertainment.

Dalam filem itu, momen imbas kembali saat kegemilangan Erra dan Awie di layar disuntik secara bersahaja. Malah ada satu babak ditujukan khas buat filem popular itu diselitkan dalam Warna Cinta Impian.

“Sewaktu penggambaran filem ini, kami banyak imbas kembali momen ketika menjalani penggambaran Sembilu. Ketika itu usia saya baru 25 tahun,dan kalau tidak salah saya Erra berusia 19 tahun.”

“Apa saja kisah cinta kami waktu itu, kami anggap sama seperti kisah cinta remaja yang terbawa-bawa sampai ke luar. Apabila disatukan kembali, kami ketawa sebab teringat­kan zaman itu,” kata Awie atau nama sebenar, Ahmad Azhar Othman, 48.

Pelakon popular juga penyanyi utama kumpulan Wings itu akui menerima tawaran daripada pihak produksi tidak kerana akan digandingkan bersama bekas kekasihnya, sebaliknya disebabkan kesungguhan yang ditunjukkan mereka untuk gandingkan mereka berdua.

Katanya, saat ditawarkan membintangi filem terbabit, jadual seni Awie dan Erra sangat padat. Malah mereka berdua beberapa kali menolaknya.

Begitupun, disebabkan pihak produksi sanggup tunggu dan bersetuju mengikut jadual seni kedua-dua artis itu, akhirnya mereka menerima tawaran yang diberikan. Malah pihak produksi juga memberi kebebasan kepada Awie dan Erra memberi idea bertujuan menambah baik jalan cerita sedia ada.

“Filem ini diinspirasikan daripada Sembilu dan ia dihasilkan kerana minat pihak produksi terhadap karya Yusof. Walaupun ada sedikit elemen Hindustan pada awalnya, kami duduk berbincang untuk pastikan elemen Melayu tetap ada.

“Kami diberi kebebasan untuk improvisasi dialog mengikut keselesaan dan segalanya dilakukan atas persetujuan bersama antara kami, pengarah dan penulis skrip,” kata Awie lagi.

Erra atau Fazira Wan Chek, 42, bersetuju dengan pandangan Awie mengenai usaha mengembalikan nostalgia Sembilu ke dalam Warna Cinta Impian.

Pun begitu, katanya, apa yang berlaku dua dekad lalu tidak wajar dijadikan isu hingga boleh menimbulkan pandangan negatif daripada pihak luar. Cukup sekadar kenangan lalu dilalui mereka dijadikan usikan dan gurauan sebagai bahan perbualan di antara kedua-dua mereka.

Kata Erra, dia tidak lihat perubahan yang dilakukan dari sudut jalan cerita dan dialog atas faktor ‘demand’ sebaliknya menganggap ia sebagai kemudahan bersama agar filem itu menjadi lebih menarik.

Sebagai contohnya, katanya, ketika beraksi dalam filem Sembilu, barisan pelakon diarah berdialog dalam nada serius tetapi dek peredaran zaman, perbualan seperti itu tidak lagi relevan.

“Tapi itu cara Yusof sebab dia pentingkan keindahan dalam berbahasa. Sama seperti kita menonton filem Hindustan yang sentiasa dipenuhi dengan dialog sastera nan indah.

“Disebabkan ketegasan Yusof juga filem terbitan Skop berjaya dan ada gaya tersendiri. Begitu juga filem ini, ada nilai tersendiri seiring dengan perkemba­ngan semasa,” kata Erra lagi.

Pun begitu, Erra tidak mahu peminat menyamakan filem ini dengan Sembilu. Apatah lagi pembabitan mereka berdua sekadar watak pembantu.

Pelakon yang juga bekas Ratu Cantik Malaysia 1992 akui meletakkan harapan tinggi untuk filem ini yang turut dibintangi Erwin Dawson, Shikin Kamal, Azlee Khairi dan Nazeera Sardi.

Filem Warna Cinta Impian edaran Empire Film Solutions ini bakal menemui penonton pada 31 Mac ini di pawagam seluruh Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2016 @ 7:03 AM