AZIZULHASNI ketika mengungguli acara Sprint Lelaki Elit selepas menewaskan menewaskan Muhammad Ridwan, kelmarin. FOTO AZRUL EDHAM
AZIZULHASNI ketika mengungguli acara Sprint Lelaki Elit selepas menewaskan menewaskan Muhammad Ridwan, kelmarin. FOTO AZRUL EDHAM
Mohd Amin Jalil


Nilai: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang menyifatkan penampilan pelumba muda pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2024 di Velodrom Nasional, di sini, sangat memberangsangkan.

Situasi itu menunjukkan negara tidak ketandusan pelumba pelapis yang berupaya menggegar pentas antarabangsa pada masa hadapan.

Mohd Azizulhasni berkata, terdapat beberapa pelumba yang dilihat sangat menyerlah dan berpotensi untuk meneruskan kesinambungan pencapaian negara di pentas antarabangsa pada masa hadapan.

"Antara pelumba terbabit termasuk Muhammad Ridwan Sahrom, dari Johor yang dilihat memiliki pakej terbaik untuk muncul sebagai pelumba pelapis berwibawa di pentas antarabangsa.

"Sebagai contoh, dalam acara sprint, Ridwan berjaya melakukan masa peribadinya di bawah 10 saat iaitu sekitar 9.9s. Lumba basikal ini kalau trek 200 meter macam berlari 100m, dan bukan mudah untuk catat masa bawah 10 saat. Dalam Malaysia hanya ada beberapa pelumba saja yang mampu melakukannya.

"Dia juga dah ada skil perlumbaan yang bagus, acara keirin pun dia bagus dan berjaya meraih gangsa apabila tewas kepada abangnya, Muhammad Shah Firdaus.

"Ridwan juga sudah ada pakej dari segi fizikal, sama dengan abangnya, namun dia mungkin perlu tingkatkan lagi dari kekuatan mental selain menimba lebih banyak pengalaman. Saya harap dia dapat terus meningkat naik," katanya ketika ditemui di Velodrom Nasional di sini, petang ini.

Semalam, pemenang pingat Sukan Olimpik dua kali itu yang turut diberi julukan 'The Pocket Rocketman' itu diberikan saingan sengit oleh Ridwan dalam acara pecut, namun Azizulhasni yang mewakili Terengganu tetap berjaya melintasi garisan penamat untuk merangkul pingat emas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 9:36 PM