AZEEM Fahmi. FOTO ASYRAF HAMZAH
AZEEM Fahmi. FOTO ASYRAF HAMZAH
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Masa kian suntuk buat jaguh pecut negara, Azeem Fahmi apabila masih lagi tercari-cari rentak sebenar untuk melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Dalam Kejohanan Kelayakan NCAA (Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan Amerika Syarikat) di Lexington, Kentucky pagi tadi, dia yang berusia 20 tahun hanya mencatat masa 10.50 saat (s) untuk meraih kedudukan keenam dalam saringan keenam.

Keputusan berkenaan menyaksikan Azeem menduduki tempat ke-32 keseluruhan dalam kalangan 47 peserta dan gagal melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

Dia yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09s kecewa dengan prestasinya dalam saingan musim ini tetapi tekad untuk kembali bangkit dalam kejohanan seterusnya.

"Satu musim yang cukup mengecewakan setakat ini tetapi tidak mengapa kerana ini adalah proses pembelajaran dan saya enggan mengaku kalah. Alhamdulillah atas apa yang berlaku," kata Azeem yang mewakili Universiti Auburn di laman X miliknya.

Saringan keenam diungguli pelari Florida Gators, Wanya Mccoy dengan catatan 10.29s diikuti pelari Louisiana State University (LSU), Myles Thomas kedua (10.42s) dan Antonio Laidler dari Indiana University ketiga (10.43s).

Azeem akan meneruskan pemburuan tiket ke Olimpik Paris menerusi Kejohanan NCAA di Eugene Orlando (5 hingga 8 Jun) sebelum kembali ke tanah air menyertai Kejohanan Terbuka Malaysia dari 14 hingga 16 Jun.

Pelari kelahiran Perak itu perlu mencatat masa 10s untuk layak secara automatik ke Olimpik Paris.

Sekiranya Azeem gagal melakukan catatan 10s, dia masih berpeluang ke Olimpik menerusi kedudukan ranking.

Dia ketika ini berada di kedudukan ke-55 ranking kelayakan ke Paris dan perlu berada dalam kelompok 56 terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan hujung bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 9:00 PM