KETUA jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner bakal lakukan rombakan pemain berdepan KDN FC, malam esok. FOTO GHAZALI KORI
KETUA jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner bakal lakukan rombakan pemain berdepan KDN FC, malam esok. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner bakal melakukan rombakan dalam kesebelasan utama sebelum berdepan Kelantan Darul Naim (KDN) FC, malam esok.

Jelas pengendali kelahiran Croatia itu, misi tiga mata menjadi keutamaannya biarpun sedar skuad Kijang Emas itu bagaikan 'harimau luka' selepas gagal mengumpul sebarang mata setakat ini.

"Berdepan KDN FC, saya sudah merencanakan pemain yang bakal membarisi kesebelasan utama pasukan dengan rombakan kecil akan berlaku, namun saya belum putuskan lagi.

"Perubahan ini penting kerana misi kita adalah tiga mata terutama beraksi di tempat sendiri selepas kita gagal membawa pulang tiga mata ketika berdepan Penang FC, Ahad lalu.

"Jadi saya ingatkan pemain agar dapat peragakan aksi lebih baik berbanding dua perlawanan lalu dengan lebih banyak penguasaan bola selain hantaran berkualiti.

"Buat barisan penyerang, diharapkan mereka lebih tajam dan mampu menterjemahkan peluang dengan jaringan," kata jurulatih yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu ketika dihubungi.

Ketika ditanya adakah lima pemain tonggaknya yang sebelum ini mengalami kecederaan bakal kembali membarisi kesebelasan utama skuadnya, Tommy menegaskan setakat ini mereka masih berada dalam senarai pemain belum bersedia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 9:23 PM