Datuk Arthur Joseph Kurup membuat lawatan pemeriksaan di gudang BERNAS, dekat sini, petang tadi. FOTO Ihsan KPKM.
Datuk Arthur Joseph Kurup membuat lawatan pemeriksaan di gudang BERNAS, dekat sini, petang tadi. FOTO Ihsan KPKM.
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan beras adalah mencukupi bagi keperluan rakyat di wilayah Sabah dan Sarawak, terutamanya ketika sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai akan datang.

Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata ia berdasarkan status semasa kedudukan stok beras negara ketika ini yang melebihi 1 juta tan metrik meliputi 200,000 tan metrik stok Kerajaan dan 837,381 tan metrik stok dagangan.

Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 57,500 tan metrik stok simpanan kerajaan ditempatkan di gudang BERNAS di Sabah, manakala di Sarawak sebanyak 33,000 tan metrik.

"Jumlah stok sedia ada adalah mencukupi bagi menampung keperluan beras di kedua-dua wilayah ini serta Semenanjung Malaysia bagi tempoh sehingga lima bulan," katanya ketika ditemui selepas mengetuai lawatan kerja pemeriksaan ke gudang stok penimbal beras di sini, hari ini.

Mengulas mengenai lawatan pemeriksaan itu, beliau berkata ia adalah selaras dengan terma Perjanjian Konsesi antara Kerajaan Malaysia dengan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) bagi memastikan simpanan beras negara sentiasa cukup dan terjamin serta berada dalam keadaan yang baik sepanjang masa.

Jelasnya, perjanjian konsesi yang bermula tahun 2021 hingga 2031 menetapkan 10 obligasi sosial kepada BERNAS yang akan dipantau serta dinilai setiap tahun oleh kerajaan.

"Salah satu obligasi sosial adalah untuk memelihara, menyelenggara dan mengurus stok simpanan beras negara dengan mematuhi kesemua garis panduan keselamatan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagaimana ditetapkan oleh Kerajaan.

"Selain itu, Penguatkuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPKM) diarah untuk memantau dari semasa ke semasa bagi memastikan bekalan beras di peringkat borong dan runcit adalah sentiasa mencukupi dan dijual pada harga yang berpatutan walaupun berlakunya peningkatan permintaan daripada pengguna," katanya.

Dalam pada itu katanya, Kerajaan Persekutuan juga turut menyambut baik tekad dan usaha Kerajaan Sabah dalam meningkat kadar sara diri (SSR) beras di Sabah seiring dengan tema Sambutan Pesta Kaamatan 2024 iaitu "Kaamatan, Melangkaui Keterjaminan Makanan."

"Bagi meningkatkan produktiviti padi di Sabah, kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuklah menaikkan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 kepada RM500 bermula pada 9 Ogos 2023 di seluruh negara selain menaikkan harga lantai belian padi di Sabah dan Sarawak daripada RM900 kepada RM1,300 per tan metrik berkuatkuasa pada 15 Februari lalu.

"Selain itu, KPKM akan melaksanakan projek rintis Program SMART SBB Ala Sekinchan di Kampung Kesapang Tengah, Kota Belud dengan keluasan 27.81 hektar yang melibatkan lima belas orang peserta dan dijangka bermula pada Julai 2024 melalui penggunaan elemen mekanisasi dan automasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 9:26 PM