Jay Jay
Jay Jay
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Penyanyi popular, Jay Jay, 66, selamat menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, jam 12.55 tengah hari, hari ini.

Isterinya, Zaitoon berkata, suaminya kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas pembedahan selama enam jam itu.

"Alhamdulillah, suami sudah selamat menjalani pembedahan. Doktor akan melakukan pemantauan seterusnya selama 12 jam lagi.

"Buat masa sekarang, suami saya masih belum sedarkan diri lagi. Saya akan beritahu jika ada perkembangan seterusnya daripada doktor," katanya kepada Harian Metro.

Zaitoon berkata, dia dan anak-anak juga terkejut apabila mendapat tahu Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Darus ada masalah jantung.

"Saya hanya tahu apabila dia tiba-tiba mendapat serangan jantung, baru-baru ini," katanya yang menemani suami bersama cucu-cucunya di wad.

Dalam laporan sebelum ini, penyanyi, Rozita Rohaizad yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK), Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) berkata, dia dimaklumkan oleh anak penyanyi itu, Cammy, Jay Jay menjalani pembedahan selama enam jam di IJN sejak jam 8 pagi, hari ini.

Rozita berkata, Jay Jay juga sudah dua minggu menjalani rawatan di IJN.

Terdahulu, penyanyi nasyid, Cheb Ali dan isterinya, Azura Aziz berkongsi berita mengenai keadaan Jay Jay dirawat di IJN akibat masalah jantung di TikTok.

Dia mendapat serangan jantung ringan dan sesak nafas ketika mahu menaiki bas dari Singapura ke Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 8:01 PM