NAZMI layak beraksi di Sukan Paralimpik Paris. FOTO MSN
NAZMI layak beraksi di Sukan Paralimpik Paris. FOTO MSN
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Segala-galanya kali pertama namun tuah memihak kepada atlet olahraga para negara, Nazmi Nasri apabila berjaya melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Paris 2024 selepas meraih emas di Kejohanan Olahraga Para Dunia di Kobe Jepun hari ini.

Nazmi yang beraksi dalam acara lompat jauh T37 (cerebral palsy) berjaya melakukan lompatan sejauh 6.13 meter (m) yang juga catatan peribadi terbaiknya walaupun kali pertama tampil di kejoahan berkenaan.

"Saya sangat gembira, sebab kali pertama menyertai kejohanan tahap dunia dan kali pertama menang emas, serta kali pertama melayakkan diri ke Paralimpik," katanya yang sebelum ini mencatat lompatan terbaik 5.74m di Kejohanan Olahraga All Comers di Bukit Jalil Februari lalu.

Atlet kelahiran Batu Pahat, Johor itu mengetepikan wakil Greece, Konstantinos Kamaras yang meraih tempat kedua dengan lompatan 6.01m, manakala gangsa milik Mateus Evangelista Cardoso dari Brazil selepas melakukan 6.00m.

"Saya memang mensasarkan untuk melakukan catatan terbaik pada lompatan pertama. Bagi lompatan seterusnya saya cuba buat lebih jauh namun tidak dapat. Mungkin disebabkan saya sedikit letih.

"Persaingan kali ini agak mencabar sebab kita berlawan dengan negara-negara berkelas dunia, namun ia bukan penghalang untuk saya berentap. Saya buat sehabis baik, yang penting diri sendri perlu mengawal mental, fokus pada sasaran," katanya yang memenangi pingat emas Sukan Para Malaysia (Para Sukma) 2022 dengan catatan 5.68m.

Dia yang meraih perak di Sukan Para Asean Kemboja tahun lalu menyertai dua jagoan dunia yang lain iaitu Ziyad Zolkefli (lonta peluru F20) dan Datuk Latif Romly (lompat jauh F20) ke Paralimpik Paris 2024.

Turut mengesahkan tempat ke temasya berkenaan ialah atlet lari pecut, Eddy Bernard melalui acara 100m T44.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 8:39 PM