Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Pixlr Group menjalin kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menyediakan kursus Kecerdasan Buatan (AI) percuma kepada 500 orang guru sempena Sambutan Hari Guru 2024.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu memaklumkan inisiatif membabitkan kos RM1 juta itu bertujuan memperkasa guru dengan pengetahuan dan kemahiran mengintegrasikan AI ke dalam bilik darjah mereka.

"Pixlr bertujuan melatih dan memberi sijil kepada guru-guru melalui siri bengkel, di mana peserta akan menerima Sijil Penyertaan Pixlr yang mengiktiraf kemahiran mereka dalam AI.

"Selain itu, inisiatif juga bertujuan memulakan program AI di sekolah dengan memanfaatkan platform Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) dan membekalkan guru-guru untuk mengetuai projek AI di institusi mereka," katanya.

Selain itu katanya, ia juga bertujuan meningkatkan kecekapan guru dalam AI, disamping membolehkan mereka untuk mengintegrasikan teknologi generatif ini dengan berkesan ke dalam amalan pengajaran mereka.

"Inisiatif ini menawarkan peserta akses langsung kepada kepakaran industri terkemuka yang dapat meningkatkan pengetahuan mereka.

"Aktiviti utama termasuk pendedahan kepada kemajuan terkini dalam teknologi AI, sesi bimbingan bersama eksekutif Pixlr serta bengkel praktikal dan interaktif, di mana guru-guru boleh mencuba alat dan teknik AI," katanya.

Katanya, Pixlr dan KPM menjangkakan beberapa hasil positif dan berimpak menerusi inisiatif dilaksana ini, dengan guru akan dapat mempermudah rutin harian mereka menggunakan AI.

"Tambahan lagi, alat AI akan menggalakkan pendekatan lebih kreatif bagi guru-guru untuk merancang dan menyampaikan pelajaran, sementara kaedah pedagogi yang inovatif akan memperbaiki pengalaman pembelajaran pelajar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pixlr Group, Warren Leow, berkata kerjasama syarikatnya dengan KPM adalah satu langkah ke arah membekalkan guru dengan kemahiran yang diperlukan untuk memanfaatkan kuasa AI dalam pendidikan.

"Ia menyediakan generasi masa depan untuk menerima teknologi baharu ini apabila AI berkembang," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Ts Mahathir Aziz, berkata melalui inisiatif strategik Malaysia Digital dan program Founders Centre of Excellence (FOX), MDEC yakin dapat mendorong Pixlr menjadi ikon teknologi global.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 9:47 PM