Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyampaikan sijil penghargaan kepada Kapten Train Monorail, Ahmad Zahiruddin Nordin yang bertindak pantas mengelak kemalangan akibat pokok tumbang baru-baru ini. FOTO BERNAMA
Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyampaikan sijil penghargaan kepada Kapten Train Monorail, Ahmad Zahiruddin Nordin yang bertindak pantas mengelak kemalangan akibat pokok tumbang baru-baru ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan memperuntukkan RM50 juta untuk kerja-kerja menaik taraf pelbagai kemudahan di stesen monorel, yang dijangka bermula seawal Oktober ini hingga April tahun depan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerja-kerja menaik taraf itu antaranya membabitkan pemulihan kerosakan lif di 11 stesen, membaiki pintu antara platform dan monorel serta tandas, dan melengkapkan kawasan stesen dengan sejumlah kamera litar tertutup (CCTV).

Beliau berkata bagi kerosakan lif kontrak pembaikan telah dianugerahkan dan akan dilaksanakan bermula Oktober ini hingga April tahun depan, antaranya membabitkan Stesen Imbi, Hang Tuah, Tun Sambanthan, Raja Chulan, Bukit Nenas, KL Sental, Chow Kit, Titiwangsa dan Maharajalela.

"Selain itu, projek yang akan diberi perhatian ialah pembaikan pintu antara platform dan monorel yang tidak berfungsi. Projek ini akan memakan masa beberapa bulan untuk disiapkan dengan fasa pertama melibatkan empat stesen (KL Sentral,Tun Sambanthan, Maharajalela dan Hang Tuah) yang akan siap Oktober.

"Fasa kedua pula membabitkan tujuh lagi stesen menjelang Disember," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Wisma Monorail di sini, hari ini.

Loke berkata pembaikan pintu itu penting kerana terdapat beberapa insiden penumpang terjatuh di landasan trek monorel sebelum ini, tambahan pula perkhidmatan itu banyak digunakan orang ramai termasuk golongan cacat penglihatan.

"Untuk kemudahan CCTV, kita hendak pastikan ia dilengkapi dengan video analitik sebab kita tahu ada berlaku beberapa insiden yang tidak diingini di stesen kebelakangan ini. Kita telah kenal pasti tempat-tempat yang terlibat dan kerja-kerja pembaikan akan bermula September ini," katanya.

Terdahulu sempena dengan lawatannya, Loke menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang kapten monorel, Ahmad Zaharuddin Nordin yang berjaya mengelak kemalangan monorel daripada berlaku akibat pokok tumbang baru-baru ini.

Beliau berkata tindakan pantas Ahmad Zaharuddin memberhentikan tren setelah landasan itu dihempap dengan pokok tumbang menyelamatkan lebih 30 penumpang yang berada dalam monorel ketika itu.

"Saya hargai tindakan beliau kerana jika tidak, tragedi lagi besar akan berlaku. Sesungguhnya pengalaman selama 14 tahun membuatkan beliau (Ahmad Zaharuddin) sangat berhati-hati memandu (monorel) terutama ketika musim hujan. Jadi amat wajar beliau diberi penghargaan," kata Loke.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 9:09 PM