Kuala Lumpur: Ibu bapa kepada 80 pelajar Autisme dari Pusat Pembelajaran Keperluan Khas (SNLC) dan Pusat Latihan Vokasional (VTC) di Petaling Jaya, kini boleh menarik nafas lega kerana sekarang anak mereka setiap hari akan menaiki van sumbangan kerajaan Jepun.

Inisiatif itu diusahakan oleh Bantuan Geran Jepun untuk Projek Keselamatan Manusia Akar Umbi (GGP) 2014 kepada Pejabat Archdiocesan bagi Pembangunan Manusia (AOHD), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang bertanggungjawab bagi dua Pusat Pembelajaran Autisme, melalui geran bernilai RM106,991.

Setiausaha Eksekutif AOHD, Tony Wee berkata sumbangan itu membolehkan mereka membeli sebuah van untuk membawa kanak-kanak itu dari rumah mereka ke pusat itu setiap hari dan juga membawa mereka untuk aktiviti luar dan lawatan sebagai sebahagian daripada kurikulum.

“Kedua-dua pusat itu menyediakan peluang pendidikan asas dan perkhidmatan latihan vokasional kepada pelajar autisme,” katanya selepas majlis penyampaian geran itu di Pejabat Kedutaan Jepun, di sini, hari ini.

Selain AOHD, Persekutuan Pedibawarsatuan Kesihatan Reproduksi Malaysia (FRHAM) turut menerima bantuan geran bernilai RM150, 616 daripada kerajaan Jepun di bawah GGP 2014.

Pengarah Eksekutif FRHAM, Yeoh Yeok Kim, berkata geran itu akan digunakan untuk mengadakan seminar mengenai penjagaan penuaan, dan juga kursus pemeriksaan kesihatan dan kelas sukarelawan kesihatan.

“Kami ingin mengukuhkan program dan penyediaan perkhidmatan bagi populasi penuaan dengan menggunakan geran ini untuk menganjurkan seminar tahun ini di lima negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya.

Duta Jepun di Malaysia, Dr Makio Miyagawa berkata sejak 1989 sehingga Disember tahun lepas, Bantuan Geran Jepun untuk GGP telah menawarkan RM16.4 juta untuk menyokong 140 projek di Malaysia.

“Jepun berbangga dan berbesar hati untuk mengeluarkan geran kepada NGO tempatan kerana ia dapat meningkatkan hubungan kerajaan dengan kerajaan dan rakyat dengan rakyat antara Malaysia dan Jepun.

“Pemberian geran ini juga menandakan sumbangan bermakna oleh Jepun kepada masyarakat Malaysia,” katanya.

GGP adalah skim bantuan kewangan di bawah Kementerian Luar Jepun bagi projek-projek khusus untuk memenuhi keperluan asas dan keselamatan manusia di negara-negara membangun. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 10:08 PM