Megat Zulkarnain (kiri) menyerahkan replika cek kepada Acryl Sani (kanan) pada Majlis Program Pendidikan kerjasama Yayasan Bank Rakyat dan Pusat Autisme Polis Diraja Malaysia (PDRM)-Pengaman dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Pusat Autisme PDRM Pulapol hari ini. FOTO BERNAMA
Megat Zulkarnain (kiri) menyerahkan replika cek kepada Acryl Sani (kanan) pada Majlis Program Pendidikan kerjasama Yayasan Bank Rakyat dan Pusat Autisme Polis Diraja Malaysia (PDRM)-Pengaman dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Pusat Autisme PDRM Pulapol hari ini. FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Memahami kos operasi yang tinggi perlu ditanggung dalam pengurusan pusat autisme, Yayasan Bank Rakyat menyumbang RM100,000 kepada Pusat Autisme Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengerusi Yayasan Bank Rakyat Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, bantuan pendidikan itu dapat meringankan tanggungan serta bebanan PDRM, pengaman dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengurus pusat autisme berkenaan.

"Kami memahami bahawa kos operasi untuk menguruskan pusat autisme ini adalah bukan murah.

"Saya difahamkan bahawa yayasan pengaman dan PDRM sudah berusaha memastikan pusat autisme menjadi antara yang terbaik di dalam negara dan ekoran daripada itulah, Yayasan Bank Rakyat tampil memberikan sedikit sumbangan," katanya dalam sidang media selepas Program Pendidikan kerjasama Yayasan Bank Rakyat dan Pusat Autisme PDRM-Pengaman-MAIWP di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Pengerusi MAIWP Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan Pengerusi Yayasan Pengaman Malaysia Tan Sri Norian Mai.

Pada majlis berkenaan, Megat Zulkarnain turut mengumumkan Pusat Autisme PDRM dijadikan sebagai anak angkat Yayasan Bank Rakyat.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau berkata, ia bagi memastikan bantuan berterusan dapat disalurkan sekali gus menjaga kebajikan pendidikan anak-anak autisme terbabit.

"Kita fikirkan mereka (anak autisme) ini adalah istimewa yang perlu diberi bantuan dan sebagainya. Seramai 23 anak-anak di sini luar biasa dan saya fikir kalau mereka ada sedikit keupayaan dari segi kewangan, mungkin mereka dapat sediakan kemudahan kepada lebih ramai anak autisme yang sedang menunggu giliran," katanya.

Sementara itu, Acryl mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Bank Rakyat atas sumbangan diberikan dan berusaha memastikan pusat berkenaan dapat ditadbir sebaiknya.

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak permintaan daripada ibu bapa yang mahu menghantar anak autisme mereka ke pusat berkenaan, namun pihaknya menghadapi kekangan kewangan dan tenaga pengajar.

"Memang menjadi hasrat bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador untuk membesarkan lagi Pusat Autisme PDRM yang dirasmikan beliau pada Mac tahun lalu.

"Melalui sumbangan ini, kita dapat mengembangkan lagi pusat ini yang akan dilaksanakan secara berfasa bergantung kepada kemudahan dan kewangan yang ada ketika ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 2:32 PM