Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Empat rumah kebajikan mendapat bantuan geran menerusi program bantuan untuk badan bukan kerajaan (NGO) berasaskan komuniti sumbangan kerajaan Jepun yang berjumlah RM814,280.

Duta Jepun di Malaysia, Hiroshi Oka berkata, Program Bantuan Geran Akar Umbi (GGP) itu diberikan kepada Selangor & Federal Territory Association of the Mentally Handicapped (SAMH), Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan, St Nicholas Home Penang dan Eden Handicap Service Center.

Menurutnya, GGP adalah program bantuan kewangan kepada pelbagai organisasi berasaskan komuniti untuk memastikan dan meningkatkan keselamatan masyarakat dalam bidang seperti perubatan, pendidikan serta alam sekitar.

"Penularan wabak Covid-19 memberi kesan kepada masyarakat, terutama golongan rentan. Tahun ini, kami memberi tumpuan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk membantu memberi keperluan segera demi meneruskan operasi harian mereka.

"Kami menerima sebanyak 80 permohonan dan sukar untuk membuat pemilihan. Akhirnya kami memilih empat NGO berkenaan yang amat memerlukan bantuan," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan geran kepada wakil NGO berkenaan di Kedutaan Jepun di sini, hari ini.

Turut hadir menerima penyerahan geran itu adalah Presiden SAMH, Datin Fauziah Idris dan Presiden Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan, Hong Yee Keong.

Mengulas lanjut, Oka berkata, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam menjayakan program GGP itu.

Sejak 30 tahun penubuhan program itu, katanya, sebanyak 154 projek merangkumi penjagaan kesihatan primer, kebajikan awam dan alam sekitar bernilai RM18.7 juta dilaksanakan di Malaysia.

Sementara itu, Fauziah berkata, pihaknya bersyukur dengan bantuan membangunkan kemudahan iaitu lif di pusat kebajikannya yang akan memberi kemudahan kepada penuntut.

Katanya, sebelum ini kebanyakan penuntut berusia antara 22 hingga 63 tahun terpaksa menaiki tangga ke kelas dan bengkel di tingkat tiga setiap hari yang pastinya menyukarkan pergerakan mereka.

"Apabila lif dibina nanti, sudah pasti ia memberi keselesaan kepada mereka. Saya berterima kasih dan bersyukur dengan bantuan diberikan ini," katanya.

Bagi Yee Keong pula, menerusi bantuan geran berkenaan dapat menambah baik kemudahan fisioterapi yang akan memberi manfaat kepada 138 pesakit.

DUTA Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka (duduk,dua dari kanan) bergambar bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selepas menandatangani dokumen geran di kediaman Kedutaan Jepun. FOTO Asyraf Hamzah
DUTA Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka (duduk,dua dari kanan) bergambar bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selepas menandatangani dokumen geran di kediaman Kedutaan Jepun. FOTO Asyraf Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 8:34 PM