DR Aseh  bersama wakil NGO pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan PERKESO Kepada NGO 2018 di Dewan Intan, Menara PERKESO.
DR Aseh bersama wakil NGO pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan PERKESO Kepada NGO 2018 di Dewan Intan, Menara PERKESO.
Siti Fatimah Nasir 

Kuala Lumpur: “Bantuan geran ini akan dimanfaatkan untuk program kesedaran dan keselamatan pekerja khususnya dengan memberi tumpuan kepada industri kecil dan sederhana (IKS),” kata seorang daripada 32 penerima geran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang juga Setiausaha Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia Kementerian Sumber Manusia, Abdul Aziz Salim.

Abdul Aziz berkata, usahawan IKS sering dilihat berhadapan dengan masalah kekurangan kewangan untuk melengkapkan diri serta tempat kerja dengan peralatan keselamatan seperti pemadam api, kasut keselamatan dan sebagainya.

“Selepas mendapat bantuan geran ini, pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak akan membantu dengan memberikan usahawan IKS latihan untuk meningkatkan keselamatan perjalanan, program penyelidikan dan penerbitan bahan.

“Dengan bantuan ini, ia dapat meningkatkan produktiviti usahawan IKS seterusnya menjana ekonomi negara,” katanya ketika ditemui pada Majlis Taklimat dan Penyerahan Geran Bantuan Kewangan PERKESO di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi PERKESO Tan Sri Dr Aseh Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) PERKESO John Riba Anak Marin.

Pada majlis berkenaan, Aseh menyampaikan geran bantuan kewangan kepada 32 institusi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terpilih bagi melaksanakan pelbagai program pencegahan kemalangan.

Sementara itu, Mohammed Azman berkata, PERKESO merekodkan 40 kes kematian pencarumnya dalam sehari membabitkan kemalangan industri manakala tiga lagi membabitkan penyakit bukan berjangkit pada tahun lalu.

“Bagi tiga kes penyakit bukan berjangkit ini, dua daripadanya membabitkan perjalanan ulang-alik pencarum ke tempat kerja manakala satu kes lagi berlaku di tempat kerja.

“Penyakit berjangkit berkenaan meliputi penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung,” katanya.

Beliau berkata, bajet yang diperuntukkan PERKESO dalam bantuan kewangan berkenaan berjumlah RM5.8 juta yang merangkumi 704 program kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan termasuk program seminar, khidmat runding cara, program pengiklanan, penerbitan video dan penyelidikan dan pembangunan (RND).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 3:53 AM