Shah Alam: Sistem penulenan air minuman mudah alih yang dihasilkan melalui usahasama Puncak Niaga Holding Berhad (PNHB) dan Angkatan Tentera Malaysia memenangi Anugerah Emas di Persidangan Antarabangsa Mengenai Kualiti 2014 di Tokyo, baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif Jabatan Perhubungan Awam PNHB, Prof Datuk Dr Mohd Zainul Fithri Othman, berkata Jernih atau ‘Jointly Developed, Efficient, Robust, Novel, Innovative & Handy’ adalah sistem penulenan air lapangan yang praktikal dan berkesan yang mampu merawat air dengan kekeruhan tinggi.

Beliau berkata, produk ‘Do-It-Yourself’ ini sesuai digunakan dalam misi bantuan kemanusiaan dan kecemasan.

“Hasil ciptaan ini juga mampu membantu masyarakat yang tinggal di kawasan di mana air minuman yang bersih sukar didapati atau kawasan dalam keadaan huru-hara disebabkan peperangan, gempa bumi, rusuhan dan bencana lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ia juga adalah produk canggih hasil usaha kedua-dua pihak yang berinovasi, berdedikasi dan profesional.

Jernih mengalahkan hasil ciptaan 52 kumpulan lain dari negara Asia bagi memenangi anugerah itu.

Persidangan empat hari itu yang berakhir semalam antara lain bertujuan memberi peluang kepada peserta dari negara Asia dan rantau Pasifik untuk berkongsi maklumat selain bertukar-tukar idea inovatif yang praktikal dan sesuai dengan kehendak pasaran semasa. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 11:02 PM