Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: "Saya sekeluarga amat sedih, lapan tahun terpisah hari ini jumpa semula kakak tapi dalam keadaan sudah tidak bernyawa, malah kami turut kehilangan dua anak saudara," luah pekerja swasta, Khairul Anuar Ngah Ariffin, 39, ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka (HM), di sini, hari ini.

Kakaknya, Azliha Ngah Ariffin, 40, disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) HM jam 12.50 tengah hari selepas lima hari bertarung nyawa dan 'ditidurkan' dipercayai akibat terhidu asap dalam kebakaran di sebuah bangunan kedai tiga tingkat di Plaza Mahkota, Khamis lalu.

Khairul Anuar berkata, pemergian kakaknya yang juga anak keenam daripada 12 beradik amat menyedihkan selepas dua anak perempuan arwah, Nuralia Karisa Abdullah, 12, dan Nur Riaisha Zahra Abdullah, 2, terlebih dahulu dijemput Ilahi pada hari kejadian.

"Bukan sahaja sedih akibat kehilangan ahli keluarga serentak, lebih dari itu.

"Arwah seorang yang baik... bagi pihak keluarga apa yang kami harap adalah kebaikan untuknya dan mohon pihak berwajib membantu apa yang boleh supaya urusan untuk pengebumian mudah termasuk proses bedah siasat," katanya memaklumkan jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pengkalan Pegoh, Lahat, Ipoh, Perak.

Katanya, mereka sekeluarga terputus hubungan dan tidak tahu ke mana kakaknya yang mesra disapa 'Liza' kalangan keluarga dan rakan membawa diri dipercayai kerana bersedih selepas berpisah dengan bekas suami lapan tahun lalu.

Khairul Anuar berkata, mereka sekeluarga datang semula ke Melaka pada Sabtu selepas mengebumikan dua anak saudaranya, Nuralia Kharisa dan Nur Riaisha Zahra pada Jumaat.

"Doktor beritahu keadaan kakak semakin merosot lalu meminta waris datang semula ke hospital.

"Keadaan kesihatannya arwah tidak berubah dan dia tidak menunjukkan sebarang reaksi kerana kegagalan otak berfungsi, selain terpaksa bergantung kepada bantuan alat pernafasan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi adik mangsa, Faridah, 37, berkata, dia hanya mengetahui arwah kakaknya berpindah ke Melaka pada tahun ini selepas berusaha mencarinya termasuk melalui media Facebook (FB) dan TikTok kerana tidak mahu ahli keluarga terputus hubungan.

Katanya, kali terakhir arwah kakak dan anak saudaranya berjumpa dengannya adalah pada lapan tahun lalu ketika majlis perkahwinan adik bongsu mereka di Ipoh, Perak.

"Selepas lama mencari di TikTok saya akhirnya saya jumpa nama FB dan cuba berbual melalui 'Messenger'.

"Agak lama baru arwah balas selepas bertanya nama saya dan selepas itu dia juga beri nombor telefon arwah anak sulungnya (Nuralia Karisa) untuk kami berhubung.

"Selepas sebulan saya bersalin anak ketiga 4 Jun lalu saya ada menghubungi anaknya untuk bertanya khabar mereka.

"Nuralia Karisa juga sempat komen dalam FB dengan mengatakan sepupunya comel," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan berhubung kematian wanita terbabit dan pihaknya menunggu laporan penuh bedah siasat sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi.

Media sebelum ini melaporkan dua beradik maut, manakala ibu mereka kritikal dipercayai terhidu asap tebal selepas bilik sewa didiami di Plaza Mahkota, Banda Hilir di sini, terbakar kira-kira jam 1.30 tengah hari, Khamis lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 5:54 PM
KHAIRUL Anuar, Faridah (duduk, dukung anak) dan Rohana (kanan) menunggu proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Melaka. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
KHAIRUL Anuar, Faridah (duduk, dukung anak) dan Rohana (kanan) menunggu proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Melaka. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.