SYED Danial (dua dari kanan) melihat barang pameran di Majlis Kecemerlangan 20 Tahun PNSB.
SYED Danial (dua dari kanan) melihat barang pameran di Majlis Kecemerlangan 20 Tahun PNSB.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Shah Alam: Puncak Niaga Holdings Bhd (PNHB), syarikat pengurusan dan pengedaran air dirawat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka memuktamadkan keputusan mengenai pengambilalihan bagi dua syarikat konsesinya iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Pengurusan Air Selangor) pada Rabu ini.

Situasi terbabit akan dibincangkan secara lanjut dalam kalangan pemegang saham PNSB bersempena mesyuarat agung luar biasanya (EGM) berikutan perjanjian jual beli saham antara Pengurusan Air Selangor dan PNHB pada November tahun lalu.

Pengarah Urusan PNSB, Datuk Syed Danial Syed Ariffin berkata EGM itu akan menyaksikan pihak syarikat akan memohon mandat dan kelulusan daripada pemegang sahamnya untuk membenarkan pelaksanaan proses pengambilalihan terbabit.

“Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara ini kerana perlu menunggu keputusan daripada pemegang saham pada EGM yang dijangka berlangsung esok,” katanya pada sidang media selepas melancarkan sambutan ulang tahun ke-20 kecemerlangan PNSB di sini, semalam.

Pengurusan Air Selangor menjadi pemilik baru bagi dua syarikat konsesi di bawah PNHB iaitu PNSB dan SYABAS di bawah perjanjian jual beli saham yang bertujuan membantu kerajaan Selangor untuk menguruskan sendiri industri perkhidmatan air di negeri terbabit.

Dalam perkembangan lain, PNSB terus kekal berdaya tahan dan komited dalam menggalas tanggungjawab menyediakan air bersih kepada penduduk di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dalam tempoh 20 tahun sejak mula beroperasi pada 1994.

Syed Danial berkata, PNSB berjaya melakukan pelbagai pembaharuan kepada 27 loji air yang diambil alih daripada Jabatan Bekalan Air Selangor kira-kira dua dekad lalu dan membina dua loji baru iaitu di Wangsa Mahu dan SSP 2, sekali gus menaik taraf industri air tempatan ke tahap lebih baik berbanding sebelum ini.

“Kami memberi penekanan kepada pengurusan berkualiti merangkumi keselamatan, kesihatan dan alam sekitar dalam pengurusan seharian berdasarkan acuan PNHB yang dilaksanakan oleh kakitangan terlatih dan memiliki kepakaran dalam setiap bidang berkaitan bagi memastikan hanya perkhidmatan terbaik ditawarkan kepada orang ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 5:08 AM