Pengambilalihan aset Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan selesai seperti dijadualkan 15 Oktober ini. - Foto puncakniga.com
Pengambilalihan aset Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan selesai seperti dijadualkan 15 Oktober ini. - Foto puncakniga.com

Kuala Lumpur: Kerajaan optimis usaha pengambilalihan aset Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan selesai seperti dijadualkan pada 15 Oktober ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Loo Took Gee berkata proses itu turut berjalan lancar seperti dirancang dengan beberapa prosedur perlu diteliti sebelum dapat diselesaikan.

"Tiada isu (yang berbangkit)...kita telah memeterai perjanjian tambahan. Semuanya berjalan lancar sekarang dan apa yang kita perlukan ialah kerajaan Selangor mengemukakan aset itu seperti dilakukan sebelum ini.

"Semua langkah perlu diambil dan perkara berikutnya adalah untuk kerajaan Selangor mengambilalih operasi.

"Tidak wujud sebarang masalah, malah wang berkenaan sudah diserahkan kepada individu berkaitan dan pembayaran akan dibuat sebaik semua aset dikemukakan," katanya selepas perasmian Forum Perniagaan

Tenaga ASEAN (AEBF) 2015, di sini, hari ini.

Pada 3 Oktober lalu, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Alid berkata PNHB dan Air Selangor sedang berbincang bagi menyelesaikan beberapa isu teknikal membabitkan pengambilalihan syarikat berkenaan dan percaya ia dapat diselesaikan mengikut tarikh dipersetujui.

Pada 14 September lalu, Lembaga Pengarah PNHB bersetuju melanjutkan tempoh pengambilalihan buat kali kelapan, selama sebulan bermula 14 September sehingga 15 Oktober bagi membolehkan Air Selangor memenuhi syarat terdahulu di bawah perjanjian jual beli bersyarat bertarikh 11 November 2014. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2015 @ 6:57 PM