MARTIAL (kiri) impi julang trofi Liga Perdana Inggeris bersama United.
MARTIAL (kiri) impi julang trofi Liga Perdana Inggeris bersama United.
AFP

SWANSEA, Wales: Anthony Martial memberi amaran kepada Manchester United supaya tidak terbawa-bawa dengan permulaan mengagumkan bagi musim baru Liga Perdana Inggeris ketika pendahulu semasa itu bertandang ke Swansea City, malam esok.

Kemenangan 4-0 ke atas West Ham pada aksi pembukaan menyebabkan ramai beranggapan United berjaya menangani masalah seri perlawanan yang sepatutnya dimenangi mereka sekali gus memberikan mereka semangat diperlukan bagi kunjungan ke selatan Wales itu.

United meraih 15 keputusan seri dalam liga musim lalu, lebih banyak berbanding pasukan lain dalam liga utama dan satu daripadanya menentang Swansea di Old Trafford, April lalu.

Anak buah Jose Mourinho kelihatan lebih bersedia berdepan dengan pasukan yang banyak bertahan dan cuba mengecewakan mereka ketika barisan serangan mereka dilihat sukar dikekang oleh benteng Hammers, Ahad lalu.

Bayaran dengan rekod Britain £75 juta (RM414 juta) kepada Everton untuk membeli Romelu Lukaku kelihatan berbaloi dengan penyerang Belgium itu menyumbat dua gol pada penampilan sulungnya dalam liga manakala Nemanja Matic, pembelian £40 juta (RM221 juta) dari Chelsea, bertindak cemerlang di bahagian tengah.

Anak buah Mourinho kelihatan bersedia memperbaiki penamat tangga keenam musim lalu dan pengurus United itu sudah mula bercakap mengenai pemburuan kejuaraan musim ini.

Beliau menang kejuaraan domestik dalam musim keduanya di setiap lima kelab terakhir dikendalikannya - di FC Porto, Chelsea dua kali, Inter Milan dan Real Madrid.

Ketika Chelsea tumbang di laman sendiri kepada Burnley hujung minggu lalu, harapan Mourinho untuk melengkapkan musim kedua di Old Trafford dengan memenangi Liga Perdana mungkin lebih cerah.

“Sebagai satu skuad, kami belum lagi bercakap mengenai sasaran khusus musim ini tapi impiannya memang untuk menang kejuaraan sebanyak mungkin,” kata Martial.

“Itulah yang kami cuba lakukan tahun lalu dan itulah juga yang akan kami cuba lakukan tahun ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 9:56 AM