Kuala Lumpur: Dua pemain wanita Jepun, Kurumi Nara dan Misaki Doi (gambar) mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW 2015 di Kelab Golf Diraja Selangor dari 2 hingga 8 Mac ini.

“Kedua-dua pemain yang secara berterusan menyertai kejohanan ini sejak 2011.

“Terbuka Malaysia BMW 2015 memberi kesempatan kepada penonton untuk menyaksikan Kurumi dan Misaki, dua bintang tenis yang meningkat naik beraksi,” kata penganjur dalam kenyataan, semalam.

Kurumi, 23, pemain perseorangan nombor 42 dunia, pemain Jepun kesembilan meraih gelaran WTA selepas Kazuko Sawamatsu, Etsuko Inoue, Kumiko Okamoto, Naoko Sawamatsu, Kimiko Date-Krumm, Mana Endo, Ai Sugiyama dan Akiko Morigami.

Selain merangkul gelaran pertama tahun lalu, Kurumi juga melepasi pusingan pertama keempat-empat Grand Slam pada 2014 dan mencapai kegemilangan sebagai pemain nombor 32 dunia pada Ogos, tahun lalu.

Sementara itu, pemain kidal, Misaki, 24, menjadi pemain profesional pada Disember 2008 dan melakar kejayaan pertama pada 2011 apabila melangkah ke pusingan ketiga.

“Dia beraksi dalam kebanyakan Grand Slam, tapi gagal mara ke pusingan selanjutnya.

“Satu-satunya kejuaraan WTA yang disandang Misaki apabila dia berpasangan dengan pemain Ukraine Elina Svitolina pada Piala Istanbul Julai lalu,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:16 AM