JACK Andraka.
JACK Andraka.
SUMAN Mulumudi.
SUMAN Mulumudi.
DIVYA Nag.
DIVYA Nag.

Basyar Mustapha kagum dengan anak muda hebat dalam dunia sains dan menggunakan teknologi untuk majukan ciptaan mereka

Suman Mulumudi

Suman Mulumudi baru saja berusia 15 tahun apabila dia mencipta aplikasi kesihatan yang membuatkan saintis malah seluruh dunia terkesima.

Suman yang anak keluarga yang bermigrasi ke Amerika Syarikat mencipta aplikasi dalam telefon pintar dinamakan Seth10. Aplikasi itu yang datang dengan satu alat pautan pada telefon pintar boleh dijadikan alat stetoskop dan juga radar pengawasan jantung.

Remaja lelaki ini mendapat idea selepas selalu bertanya kepada bapanya yang juga pengamal perubatan tentang jantung dan fungsinya.

Pada musim panas, ketika remaja lelaki lain berparti dan menghabiskan masa bercuti, Suman menggunakan masa itu mencabar dirinya mencipta alat stetoskop digital dan selepas beberapa percubaan, ia membuahkan hasil dan Steth10 tercipta.

Melalui telefon, pengguna boleh mendengar dan melihat kadar degupan jantung mereka tanpa perlu menggunakan alat stetoskop digunakan doktor.

Kini berusia 16 tahun, Suman memberitahu dalam rancangan The Late Night Show with Jimmy Fallon yang dia sedang memerah otak mencipta alat memudahkan operasi pembedahan arteri yang akan dinamakan remaja itu LesionSizer.

Jack Andraka

Dia menjadi buah mulut dunia perubatan apabila berjaya berjaya mencipta kaedah baru yang mudah dan murah untuk mengesan peningkatan sejenis protein dalam badan yang boleh menyebabkan kanser pankreas, ovari dan paru-paru.

Jack mendapat idea untuk mencipta kaedah ini selepas mengetahui antara punca kematian disebabkan jenis kanser ini adalah kegagalan pada peringkat pengesanan yang selalu berlaku dan dia didorong selepas kematian beberapa ahli keluarganya akibat jenis kanser ini.

Remaja berusia 18 tahun ini mendapat ilmu daripada jurnal perubatan yang dibacanya dan mengaku merujuk banyak informasi daripada laman Wikipedia, Google dan YouTube yang digelarnya ‘sahabat baik remaja.’

Walaupun banyak ahli perubatan dan saintis mengkritik ciptaan Jack, dia tetap berusaha memperbaikinya sehingga dia berjaya meyakinkan badan perubatan di Amerika Syarikat. Ciptaannya mendapat anugerah sains Smithsonian oleh organisasi Intel malah Jack diberi pengiktirafan Champion of Change oleh White House.

Divya Nag

Antara masalah dunia penyelidikan perubatan adalah sel manusia senang mati di luar badan manusia dan ia menyukarkan kajian yang hendak dilakukan. Divya Nag, 22 mencipta teknologi sel stem teraruh yang yang membuatkan sel manusia tahan lama di dalam alatan makmal dan membuatkan penyelidikan lebih mudah dan kos menjadi lebih murah.

Stem ini juga dijangka dapat menggantikan tisu jantung yang mati semasa serangan jantung berlaku. Divya mengetuai kumpulan saintis muda dalam organisasi Stem Cell Theranostics yang mendapat bantuan RM60 juta dari California Institute of Regenerative Medicine.

Sebelum mencipta sel stem ini, Divya menghasilkan beberapa jurnal perubatan ketika di tahun pertama di universiti. Dia dipilih majalah antarabangsa Forbes sebagai pilihan dalam senarai ‘Anak Muda Paling Berjaya bawah 30 Tahun’ dan ‘30 Perempuan Paling Penting Dalam Dunia Teknologi.’

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 9:27 AM