BUAT pertama kalinya, saintis berjaya mencipta anak tikus daripada persenyawaan dua ekor tikus. FOTO AFP
BUAT pertama kalinya, saintis berjaya mencipta anak tikus daripada persenyawaan dua ekor tikus. FOTO AFP
AP

Washington: Buat pertama kalinya, saintis berjaya mencipta anak tikus daripada persenyawaan dua tikus jantan.

Ini menimbulkan kemungkinan untuk menggunakan teknik sama untuk manusia, walaupun pakar memberi amaran, sangat sedikit embrio tikus berkembang menjadi anak tikus yang hidup dan kemungkinan ia tidak berfungsi untuk manusia.

"Namun, ia adalah strategi yang sangat bijak," kata Diana Laird, pakar sel stem dan pembiakan di Universiti California, San Francisco, yang tidak terbabit dalam penyelidikan.

"Ia adalah satu langkah penting dalam kedua-dua sel stem dan biologi pembiakan."

Saintis menerangkan kerja mereka dalam kajian yang diterbitkan pada Rabu menerusi jurnal Nature.

Mula-mula, mereka mengambil sel kulit daripada ekor tikus jantan dan mengubahnya menjadi sel stem pluripoten yang boleh berkembang menjadi pelbagai jenis sel atau tisu.

"Kemudian, melalui proses yang membabitkan membesarkannya dan merawatnya dengan ubat, mereka menukar sel stem tikus jantan kepada sel betina dan menghasilkan sel telur berfungsi. Akhirnya, mereka menyuburkan telur itu dan menanamkan embrio ke dalam tikus betina," katanya.

Menurutnya, kira-kira satu peratus daripada embrio iaitu tujuh daripada 630 embrio berkenaan, menjadi anak tikus dan membesar.

Anak tikus itu kelihatan membesar secara normal dan boleh menjadi ibu bapa sendiri dengan cara biasa, ketua penyelidik, Katsuhiko Hayashi dari Universiti Kyushu dan Universiti Osaka di Jepun memberitahu rakan saintis di Sidang Kemuncak Antarabangsa Ketiga mengenai Penyuntingan Genom Manusia minggu lalu.

Dalam ulasan yang diterbitkan bersama kajian Nature, Laird dan rakan sekerjanya, Jonathan Bayerl berkata, kerja itu membuka jalan baharu dalam biologi pembiakan dan penyelidikan kesuburan untuk haiwan dan manusia.

Sebagai contoh, mungkin untuk menghasilkan semula mamalia yang terancam daripada seekor jantan.

"Dan ia mungkin juga menyediakan templat untuk membolehkan lebih ramai orang seperti pasangan lelaki yang sama jantina mendapat anak kandung sambil mengelak isu etika dan undang-undang telur penderma," tulis mereka.

Bagaimanapun, tidak jelas mengapa hanya sebahagian kecil daripada embrio yang diletakkan ke dalam tikus pengganti, terselamat, sama ada teknikal atau biologi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 12:53 PM