ADITI yang menjalani proses pemindahan organ tidak perlu lagi bergantung ubat seumur hidupnya.
ADITI yang menjalani proses pemindahan organ tidak perlu lagi bergantung ubat seumur hidupnya.
Agensi

London: Kanak-kanak lapan tahun di United Kingdom (UK) dianggap bertuah apabila menjadi pesakit pertama yang tidak perlu bergantung ubat sepanjang hayat selepas menjalani pemindahan organ.

Aditi Shankar yang menghidap penyakit genetik jarang jumpa, menerima buah pinggang baharu dan sum-sum tulang daripada ibunya, Divya.

Prosedur itu dilaksana pasukan perubatan Hospital Great Ormond Street (GOSH), yang mendapati Aditi tidak perlu lagi bergantung ubat imunosupresan selepas sebulan menjalani pemindahan sel stem.

Imunosupresan penting untuk kehidupan kebanyakan pesakit pemindahan organ kerana ia membantu menghalang tubuh daripada menolak organ yang diterima.

Walau fungsinya penting, ia juga melembapkan sistem imun badan yang berisiko menyebabkan pesakit mudah dijangkiti komplikasi lain.

Bagaimanapun, menurut Pakar Buah Pinggang Kanak-Kanak GOSH, Prof Stephen Marks, Aditi beruntung apabila tubuhnya menerima organ baharu itu dengan baik dan menganggap sebahagian miliknya.

"Kekurangan imun dialami Aditi terpaksa diperbetulkan menerusi sum-sum tulang ibunya terlebih dahulu dan kerana Aditi dapat menerimanya, bermakna tubuh dia melihat buah pinggang didermakan sebagai sebahagian daripadanya.

"Sebulan selepas pemindahan, kami berjaya membuang semua imunosupresan padanya, yang bermakna dia tidak mengalami kesan sampingan terhadap ubat-ubatan itu," katanya.

Hanya tahun lalu, Aditi terpaksa menghabiskan banyak masa di hospital untuk prosedur dialisis bagi membuang cecair berlebihan dalam darah apabila buah pinggang berhenti berfungsi dengan baik.

Kini kanak-kanak itu boleh berenang, menari dan melompat atas trampoline.

"Saya sangat gembira dapat mendermakan sel sumsum dan buah pinggang kepadanya. Saya bangga," kata ibu Aditi, Divya.

Terdahulu, Aditi dirujuk kepada pasukan GOSH ketika berumur lima tahun selepas didapati mengalami displasia imuno-osseous Schimke yang memberi kesan kepada sistem imun dan buah pinggang.

Di UK, penyakit itu menyerang seorang kanak-kanak daripada tiga juta orang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 12:17 PM