V SHEM-Wee Kiong masih belum ada pelapis.
V SHEM-Wee Kiong masih belum ada pelapis.

Kuala Lumpur: Jurulatih beregu lelaki negara Pang Cheh Chang mengakui harus bekerja keras dalam usaha untuk membina semula skuad beregu lelaki.

Menurutnya, beliau berdepan dengan ujian paling besar untuk melahirkan beregu kedua dan ketiga terbaik selepas gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

“Kita mempunyai tanggungjawab lebih dalam situasi sekarang untuk melahirkan pasangan pelapis selepas V Shem-Wee Kiong,” katanya ketika ditemui di Arena Sukan Champion semalam.

Jelasnya, mereka harus melonjakkan pasangan kedua dan ketiga negara secepat mungkin supaya dapat menjadi pemain senior.

Selepas Hoon Thien How, Lim Khim Wah dan Tan Boon Heong mengambil keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Cheh Chang bersama ketua jurulatih beregu negara Jeremy Gan perlu mencari jalan terbaik membentuk pasangan baru.

Selain bergantung kepada pemain muda seperti Teo Ee Yi, Tan Wee Gieen, Chooi Kah Ming dan Teo Kok Siang, mereka memanggil semula Mak Hee Chun yang sebelum ini pernah meninggalkan BAM.

“Memang kami bekerja keras sekarang, sekurang-kurangnya untuk menyediakan pasangan kedua dan ketiga yang mampu memberi saingan dalam setiap kejohanan.

“Mereka memerlukan masa untuk merapatkan jurang dengan V Shem-Wee Kiong. Bukan boleh buat terus dapat hasil.

“Apa yang boleh saya katakan, jurulatih perlu bekerja keras,” katanya sambil menyatakan rasa hati dengan prestasi semasa V Shem-Wee Kiong selepas muncul naib juara Grand Prix (GP) Emas Terbuka Switzerland 2015 minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:21 AM