Kuala Lumpur: Grand Prix Emas Masters China 2015 bermula Selasa ini akan menjadi medan terbaik buat pasukan beregu lelaki negara menguji tahap kemampuan mereka terutamanya pasangan yang baru digandingkan.

Tumpuan sudah pasti terarah kepada Mak Hee Chun (gambar)-Teo Kok Siang dan juga Chooi Kah Ming-Ow Yao Han, yang dianggap sebagai gandingan pelapis kepada beregu utama, Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Ia aksi pertama Hee Chun-Kok Siang apabila digandingkan semula oleh jurulatih beregu lelaki, Jeremy Gan dan Pang Cheh Chang.

Sebelum ini Hee Chun meninggalkan BAM pada 2012 dan dia juga pernah merangkul gelaran juara remaja dunia 2008 bergandingan bersama Kok Siang.

“Sudah lama mereka tidak bergandingan bersama pada kejohanan tapi berdasarkan latihan, setiap pasangan ini (Hee Chun-Kok Siang) sentiasa menunjukkan aksi terbaik,” kata Jeremy semalam.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan tahap remaja dan senior memang jauh beza serta tidak boleh dijadikan ukuran walaupun mereka pernah muncul juara.

“Mereka sebenarnya berpotensi, cuma sekarang ini mampukah mereka menyesuaikan diri dengan keadaan permainan di peringkat lebih tinggi.

“Bagi Kah Ming-Yao Han pula ini adalah kejohanan kedua mereka selepas Siri Super Singapura 2015, mereka kurang bernasib baik minggu ini apabila tumpas kepada pilihan kedua dari Taiwan, Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin 11-21, 15-21,” kata Jeremy.

Hee Chun-Kok Siang akan bertemu pasangan Jepun, Hiroyuki Saeki-Ryota Taohata, manakala Kah Ming-Yao Han bakal diuji pasangan Taiwan, Liu Wei Chen-Han Yang Po pada pusingan pertama Masters China.

Satu lagi pasangan beregu lelaki negara, Tan Wee Gieen-Teo Ee Yi akan bertemu Chang Ko Chi-Wang Chi Lin juga dari Taiwan.

Bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Hoon Thien How-Lim Khim Wah pula mendapat bye dan akan bertemu pemenang antara Terry Hee-Hendra Wijaya (Singapura) atau Mek Narongrit-Krit Tanianankul (Thailand).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 5:53 AM