AZAD dan Eira menunjukkan laporan polis terhadap kenyataan berunsur fitnah terhadap mereka.
AZAD dan Eira menunjukkan laporan polis terhadap kenyataan berunsur fitnah terhadap mereka.
Oleh Georgie Joseph


Pasangan suami isteri yang juga pelakon, Azad Jasmin, 39, dan Eira Syazira, 31, membuat laporan polis petang kelmarin berikutan dakwaan pemilik Rania Marketing yang menuduh mereka melarikan wang berjumlah RM200,000.

Pemilik Rania Marketing Datuk Suhaimy Othman dan Datin Muniroh Kassim didakwa membuat kenyataan itu menerusi program Melodi dan Galaksi, baru-baru ini.

Azad dalam sidang media di sebuah hotel di Ampang, malam kelmarin berkata, dakwaan berkenaan adalah fitnah yang boleh menjatuhkan reputasi mereka.

Menurut Azad, dia pelik kenapa mereka dituduh melarikan wang sedangkan wang pelaburan ‘downline’ di bawahnya akan terus memasukkannya ke dalam akaun milik syarikat.

“Saya tidak faham apa jenis permainan yang mereka lakukan sekarang ini kerana saya tidak pernah pun memegang wang orang lain. Kalau benar saya melarikan wang itu, kami tiada di sini mengadakan sidang media ini sebaliknya sedang disiasat polis,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Puchong.

Turut hadir dalam sidang media berkenaan ialah 20 individu yang mendakwa turut menjadi mangsa penipuan syarikat terbabit.

Azad berkata, sejak menyertai perniagaan itu pada Mei tahun lalu mereka tidak pernah dibayar bonus pelaburan seperti dijanjikan bahkan sistem pemasaran yang tepat juga tidak pernah wujud.

Mereka juga terkejut apabila tiba-tiba syarikat terbabit memaklumkan wujud terma baru mengenai pelaburan berkenaan iaitu ‘flushing’ dengan sebahagian daripada wang pelaburan akan ‘ditelan’.

“Ia memang mencurigakan. Kami mula menyedarinya selepas tiga bulan menyertainya. Beberapa kali kami minta penjelasan namun tidak berakhir seperti diharapkan. Apabila pergi ke pejabat, mereka langsung tidak tunjuk muka,” katanya yang keluar daripada perniagaan itu awal Januari lalu.

Dalam sidang media itu, Azad turut memperdengarkan mesej suara daripada Suhaimi yang diterimanya pada 7 Januari lalu.

“Saya terkejut kerana mesej itu mengandungi ayat yang cukup mengejutkan iaitu dia mendakwa tidak pernah mengambil tahu mengenai perniagaan itu serta tidak mempedulikannya,” katanya.

Difahamkan selain orang awam, perniagaan berkonsepkan rangkaian pemasaran itu turut disertai beberapa selebriti dan artis terkenal.

Sementara itu, Muniroh ketika dihubungi RAP semalam enggan mengulas.

“Saya minta-maaf banyak-banyak. Saya tak mahu beri komen buat masa ini dan malas hendak bising-bising,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 11:31 AM