Azad Jasmin bersama tiga anak perempuannya. FOTO Instagram AZAD JASMIN
Azad Jasmin bersama tiga anak perempuannya. FOTO Instagram AZAD JASMIN
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur : Pelakon dan penyampai radio, Azad Jasmin, 47, tidak akan membenarkan tiga anak perempuannya berlakon walaupun sering mendapat tawaran berlakon iklan dan drama.

Azad berkata, dia kekal dengan pendirian tidak membenarkan tiga anaknya, Amarra Sofea Rose, 9; Ameisya Leann Rose, 6; dan Areisya Suri Rose, 5; itu bekerja kerana mahu mereka menikmati keseronokan zaman kanak-kanak.

"Saya boleh jadi kawan pada anak-anak dalam perkara tertentu. Bagaimanapun bila bercakap dari segi pendidikan saya memang tegas. Itu sebab anak saya dapat 9A dalam peperiksaan.

"Mereka tak dibenarkan berlakon. Sampai sekarang mereka tak berlakon mana-mana drama. Tawaran ada terutama anak kedua yang selalu ditawar iklan komersial tapi saya tak lepaskan.

"Sebabnya saya nak mereka 'enjoy' zaman kanak-kanak. Mereka nak pergi mana macam Legoland, pergilah saya benarkan," katanya.

Menurutnya, dia memberikan pendidikan sewajarnya terhadap mereka dan apabila dewasa mereka bebas memilih kerjaya sendiri.

"Anak bongsu saya minat jadi wartawan. Kita tak tahu apa minat mereka tapi bila sampai masanya kita kena latih dia.

"Saya hanya akan beri kebenaran apabila usia mereka mencecah 18 tahun. Pada masa itu mereka bebas untuk berlakon sekiranya ada tawaran yang datang," katanya.

Dalam masa sama, Azad berkata, dia tidak kisah atau terkilan anak-anaknya tidak mempunyai pendapatan sendiri buat masa ini kerana masih mampu menanggung mereka.

"Saya dan isteri (Eira Syazira) masih mampu cari rezeki untuk mereka. Alhamdulillah, kontrak saya sebagai penyampai Era bersama Nabil dan Radin juga disambung hingga 2026," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 11:14 AM