Kecoh juga isu membabitkan perniagaan MLM dilakukan pelawak Azad Jazimin dan isterinya, dramatis popular Eira Syazira.

Segala-galanya bermula apabila pasangan bergelar Datuk dan Datin tampil mendakwa perniagaan yang diusahakan Azad dan Eira tidak sah.

Pasangan artis popular ini pula tampil menyatakan mereka tidak ada kena-mengena dengan perniagaan yang dimaksudkan Datuk dan Datin itu.

Azad dan Eira menyatakan, mereka menjadi mangsa dan terpaksa menyelesaikan masalah berlaku apabila sebahagian pelabur meminta wang mereka dikembalikan.

Kes dan dakwaan antara pasangan popular ini bersama Datuk terbabit dan isterinya juga khabarnya menjadi besar dan dibawa ke pengetahuan pihak berkuasa. Azad dan Eira tampil membuat laporan polis.

Cik Pang tidak mahu bercerita panjang membabitkan kes ini, cuma yang menghairankan Cik Pang adalah, sebelum perkara ini timbul, pasangan artis popular itu dan Datuk juga Datin ini sangat rapat.

Malah menurut cerita orang keliling, Azad dan Eira memulakan perniagaan itu pun atas saranan dan tunjuk ajar pasangan bergelar Datuk itu.

Bukan itu saja, akrabnya hubungan mereka hinggakan Datuk dan Datin itu sebelum ini mengang­gap Azad dan Eira sebagai anak angkat mereka.

Ternyata kerana duit mengubah hubungan mereka. Cik Pang sendiri hairan, kalau benar mereka menganggap Azad dan Eira sebagai anak, mengapa masalah yang timbul tidak diselesaikan dengan cara baik.

Mengapa harus masalah yang bagi Cik Pang sangat kompleks ini perlu diperbesarkan sehingga cuba mencari pengaruh dalam kala­ngan media supaya mempercayai dakwaan dibuat.

Cik Pang tidak mahu mempercayai atau menyebelahi mana-mana pihak dalam hal ini, ibarat kata rakan wartawan yang membuat liputan membabitkan isu ini, ia sa­ngat memeningkan kepala sehing-ga mereka tidak tahu siapa harus dipercayai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:02 AM