NA'IM Mokhtar pada Majlis Jelajah Madani Ulama dan Umara Peringkat Negeri Zon Utara di Ipoh. FOTO L Manimaran
NA'IM Mokhtar pada Majlis Jelajah Madani Ulama dan Umara Peringkat Negeri Zon Utara di Ipoh. FOTO L Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Tindakan segelintir pihak yang menimbulkan rasa kebencian termasuk membaca Qunut Nazilah bagi mendoakan kehancuran terhadap pimpinan negara dianggap sebagai perbuatan tidak wajar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, kebencian kepada pemimpin tidak sepatutnya hingga tahap mendoakan keburukan termasuk mencerca.

Menurutnya, sesuatu perkara yang diputuskan pimpinan negara membabitkan ijtihad yang berbeza di mana ada kemungkinan menepati kebenaran atau mungkin juga salah.

Bagaimanapun, katanya tidak perlu sehingga seseorang perlu mendoakan kehancuran seperti membaca Qunut Nazilah.

"Pagi ini saya terima satu (video) TikTok mengenai Perdana Menteri yang agak menyedihkan dan mengecewakan, di mana video terbabit berdoa menggunakan Qunut Nazilah untuk menimbulkan rasa kebencian kepada kepimpinan sedia ada.

"Saya rasa tahap macam mana pun kita dalam perbezaan pandangan, (namun) tidak sepatutnya sampai kepada tahap untuk mendoakan sebegitu dan menggunakan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya.

"Kita selaku masyarakat, tidak sepatutnya ijtihad dan usaha yang dibuat oleh seseorang pemimpin ditafsirkan begitu teruk sehingga memerlukan kita untuk membaca Qunut Nazilah dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Jelajah Madani Ulama' dan Umara' Peringkat Negeri Zon Utara Tahun 2024 di Meru Raya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Mohd Annuar Zaini, Timbalan Mufti Perak Datuk Zamri Hashim dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Terdahulu, tular video berdurasi 18 saat di aplikasi TikTok memaparkan tulisan yang mendoakan agar Allah menimpakan bala serta laknat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Kabinet serta penyokong-penyokongnya yang menggunakan muzik latar bacaan Qunut Nazilah yang dilagukan.

Mohd Na'im berkata, fahaman masyarakat perlu diperbetulkan dan menjadi tanggungjawab ulama serta pemimpin sebagai murabbi atau pembimbing ummah untuk memainkan peranan.

"Pada pandangan saya, tuan-tuan dan puan-puan sekalian sewaktu murabbi ummah, dan juga saya ada sebut kepada ketua-ketua agensi peringkat Persekutuan untuk memainkan peranan membetulkan (pemikiran) masyarakat.

"Kalau kita tidak mainkan peranan sebagai orang yang diberikan ilmu pengetahuan untuk membetulkan, maka kepada siapa masyarakat kita akan bergantung harap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 2:28 PM