NURFARAH Diana Azad, 19, (kanan) bersama ayahnya, Azad Mohd Ismail, 43; ibu, Hijirah Begum Abdullah, 42, (dua kiri) serta adik-beradiknya menunjukkan surat tawaran yang diterimanya ketika majlis pendaftaran penuntut sesi 2017/2018 di UMP Kampus Gambang. FOTO Farizul Hafis Awang
NURFARAH Diana Azad, 19, (kanan) bersama ayahnya, Azad Mohd Ismail, 43; ibu, Hijirah Begum Abdullah, 42, (dua kiri) serta adik-beradiknya menunjukkan surat tawaran yang diterimanya ketika majlis pendaftaran penuntut sesi 2017/2018 di UMP Kampus Gambang. FOTO Farizul Hafis Awang
Shahrinnahar Latib


AZAD Mohd Ismail tidak pernah memandu keluar dari Seremban, Negeri Sembilan sepanjang hidupnya.

Tapi, hari ini, Azad, 43, memberanikan diri, menyewa kereta dan memandu ke Universiti Malaysia Pahang (UMP), di Kuantan.

Tekad itu disatukan hanya kerana hendak mendaftarkan anak perempuannya yang dapat melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan tinggi itu.

Bapa lima anak itu berkata, dia menyewa Perodua Myvi RM140 sehari untuk membawa anaknya, Nurfarah Diana Azad, 19, melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuteraan Perisian).

Katanya, dia menghantar Nurfarah bersama isteri, Hijirah Begum Abdullah, 42, serta dua anak lelaki mereka, masing-masing berusia 10 dan 11 tahun.

Pencuci kereta itu berkata, dia mengambil keputusan memandu dari Seremban ke UMP kampus Gambang, Kuantan, kerana bimbang keselamatan anak sulungnya itu jika menaiki bas.

Selain itu, katanya, Nurfarah juga perlu membawa banyak barang untuk keperluan harian.

"Kami bertolak pada 5.30 pagi. Mulanya, saya risau kerana tidak biasa memandu jauh.

"Tapi, kerana anak saya memberanikan diri supaya kami sekeluarga dapat menghantarnya. Saya sewa kenderaan kerana kereta saya sudah terlalu usang.

“Terima kasih kepada UMP kerana memudahkan pendaftaran anak dan memberikan sumbangan RM1,000 (menerusi Skim Insentif Pendidikan UMP bagi keluarga kurang berkemampuan.

“Dapat juga dapat meringankan beban dalam menampung kos persediaan pengajian," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, Nurfarah Diana berkata, dia tidak akan melupakan jasa dan pengorbanan bapanya yang sanggup berbuat bagi memastikannya melanjutkan pengajian di UMP.

"Pengorbanan bapa yang sanggup menyewa kereta dan memberanikan diri memandu di luar Seremban membuatkan saya terharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 1:53 PM