Oleh Esme Johari Wahab


Kuala Lumpur: Juara bertahan dari England, Lee Westwood dan Graeme McDowell berkongsi pendahulu bersama selepas mencatat 6 bawah par 66 pada hari pembukaan Kejohanan Golf Terbuka Maybank Malaysia 2015, semalam.

Dua pemain terbabit cemerlang merakam tujuh berdie dengan masing masing melakukan bogey di lubang keenam dalam saingan di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC), Bukit Kiara.

Westwood, bekas pemain nombor satu dunia, memulakan saingan awal pagi bersama pemain Thailand dan juara 2013, Kiradech Aphibarnrat dan David Lipsky dari Amerika Syarikat (AS), mencatat birdie pertama pada lubang ketiga 503 ela.

Dia kemudian merakam enam birdie lagi pada lubang ke-7, 9, 12, 13, 16 dan 17. McDowell, pemain Ireland Utara yang memulakan cabaran 10 minit di belakang Westwood, merakam birdie pada lubang pertama, ke-2, 7, 9, 10, 15 dan 17.

Westwood yang memiliki rekod memenangi 23 kejohanan PGA Jelajah Eropah memulakan permainan dengan baik dan yakin permulaan baik itu akan berterusan hari ini.

“Ya, sangat bagus. Saya melakukan putt dengan baik. Lagipun, keadaan saingan dilalui agak sama seperti tahun lalu. Cuma tiupan angin membuatkan keadaan sedikit sukar kerana menjadikan mengganggu perjalanan bola,” katanya.

Beraksi selaku pemain ranking ke-30 dunia, Westwood berkata, lapangan KLGCC sangat bagus.

“Permukaan fairway agak lembut dan membuatkan kami bermain mengikut haluan bola yang majoriti pemain gemari. Kita lihat saingan esok (hari ini) pula,” katanya.

Seorang lagi pemain England, Tommy Fleetwood dan pemain negara, Danny Chia berkongsi kedudukan ketiga dengan catatan 5 bawah par 67.

Kejohanan kali ke-10 itu disertai 156 pemain golf profesional daripada Jelajah PGA Eropah, Asia dan 22 pemain Malaysia.

Saingan membabitkan 72 lubang dalam empat pusingan dan selepas 36 lubang lapangan saingan hanya akan menampilkan 65 pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 9:51 AM