Kuala Lumpur: Pemain Jelajah PGA Amerika Syarikat, Billy Hurley III mendahului dua pukulan pada pusingan kedua Kejohanan Golf CIMB Classic yang menawarkan AS$7 juta (RM23 juta) di Kelab Golf dan Country Kuala Lumpur di Bukit Kiara, semalam.
Bagaimanapun, perlawanan itu sekali lagi ditangguhkan pada jam 1.33 tengah hari akibat hujan dan petir sebelum disambung semula pada 3.30 petang.
Pada pusingan itu, Hurley III membenam tujuh birdie dan melakukan dua bogey untuk lima di bawah par 67 bagi mengulangi pencapaian kelmarin, 67.
“Tinggal 36 lubang lagi. Mendahului dua pukulan lebih baik daripada mendahului satu pukulan, tapi tidak sebagus berada di depan dengan empat pukulan,” kata Hurley III, 32, bekas anggota Tentera Laut Amerika Syarikat.
“Saya bermain baik pada awal permainan. Lubang ke-11 hingga ke-13 yang paling sukar, tapi saya berjaya melakukan birdie pada kedua-dua lubang itu.
“Saya melakukan birdie pada lubang ke-10 dan kedudukan saya tiga bawah par dan kemudian pukulan saya tersasar pada lubang ke-16, ke-17 dan ke-18,” katanya yang menjadi pemain profesional pada 2006.
Mengekorinya Kevin Streelman dengan lapan bawah par 136 selepas aksi selama dua hari. Dia melakukan 68 semalam.
Menyusul di belakang dengan ketinggalan tiga pukulan ialah tujuh pemain termasuk pilihan keempat dunia, Sergio Garcia dari Sepanyol dan juara Terbuka Malaysia 2014 Lee Westwood dari England.
Westwood mencuri perhatian apabila melakarkan hole-in-one di lubang ke-11 par tiga. - BERNAMA