Oleh Esme Johari Wahab

Kuala Lumpur: Bernd Wiesberger bangkit mempamer belang sebenar apabila merampas kedudukan pendahulu pada hari ketiga Kejohanan Golf Terbuka Malaysia Maybank 2015, semalam.

Wiesberger, pemain Austria yang pernah menjulang dua Jelajah Eropah, beraksi cemerlang mencipta lima birdie berturut-turut sepanjang lima lubang pertama untuk mendahului dua pukulan di depan pencabar terdekat, Alejandro Canizares di Kelab Golf dan Country Kuala Lumpur (KLGCC), Bukit Kiara.

Weisberger mencatat sembilan di bawah par 63 dan menjadi satu-satunya pemain mencatat bawah 200 dengan 199 pukulan selepas 72 jam saingan.

Biarpun pemain Sepanyol itu merakam eagle pada lubang ke-16 namun ia masih tidak mampu memperbaiki catatan apabila sekadar mencipta 68 pukulan dengan empat di bawah par untuk mengumpul 201 pukulan keseluruhan.

Pendahulu dua hari pertama saingan edisi ke-10 itu, Lee Westwood serta rakan senegaranya dari England, Paul Waring tercicir tiga pukulan di belakang Wiesberger untuk berkongsi kedudukan ketiga keseluruhan dengan 202 pukulan.

Weisberger berkata, birdie di lima lubang pertama mewujudkan perbezaan terhadap keseluruhan permainan 18 lubang hari ini (semalam).

“Saya dapat memintas semula untuk mendapatkan pendahuluan dan hari ini saya puas hati dengan pencapaian carta keseluruhan,” kata pemain yang akan menyambut hari lahirnya ke-30 esok.

Mengenai kemungkinan dia mampu mengulangi tahap terbaiknya sepanjang dua hari terakhir, pemain Austria itu berkata: “Mungkin saya tidak perlu memberitahu anda. Saya bekerja keras untuk mendapatkan segala-galanya dalam keadaan terbaik dan begitu penting buat saya di sini.

“Lagipun, saya baru bertukar model putter dan ia menjadi. Saya perlu yakin kepada diri sendiri, saya mampu bermain golf terbaik sekarang.”

Canizares berkata, beraksi dalam cuaca panas terik dan berbahang menyeronokkan dirinya.

“Saya gembira kerana dapat melakukan eagle pada lubang ke-16 malangnya kurang bernasib baik pada lubang terakhir kerana mencatat bogey,” katanya.

“Secara keseluruhan saya gembira dengan permainan keseluruhan hari ini (semalam).”

Ditanya mengenai aksi Weisberger pada sembilan lubang pertama, Canizares berkata: “Saya hanya memberi perhatian kepada diri sendiri. Satu pengalaman bagus apabila ada pemain lain bermain dengan baik dan mendorong anda untuk melakukan birdie.

“Seronok melihat Bernd (Weisberger) bermain kerana dia pemain hebat dan sentiasa membuat saya berasa tidak selesa dan memaksa diri.”

Untuk saingan hari terakhir hari ini, Weisberger akan berada satu kumpulan bersama Waring dan Canizares bermula daripada petak tee pertama jam 9.50 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:05 AM